Paling Popular
Terkini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
KKM sasar wujudkan lebih banyak pusat rawat masalah tidur

Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk mewujudkan Pusat Sehenti Masalah Tidur di 13 hospital dan 27 hospital berpakar lain di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata setakat ini pusat sehenti seperti itu hanya terdapat di Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah dengan masing-masing mempunyai satu makmal tidur tahap satu.

“Jika ambil kira 13 hospital dengan kemudahan (makmal tidur) tahap satu dan 27 hospital berpakar (tahap tiga dan empat) ia akan melibatkan kos RM1.5 juta," katanya ketika berucap pada majlis perasmian perkhidmatan Otorinolaringologi (ORL) dan ‘Sleep Lab’ di Hospital Rembau hari ini.

Dia berkata pusat sehenti itu akan membolehkan rawatan pelbagai disiplin kerana masalah Obstructive Sleep Apnea (OSA) berkait rapat dengan pelbagai masalah komorbiditi lain.

Jelasnya, pesakit memerlukan ujian polysomnography atau lebih dikenali sebagai ujian tidur untuk mendiagnosis OSA yang semakin meningkat dan kekangan utama dihadapi pihak hospital yang mempunyai perkhidmatan ORL ialah kekurangan kemudahan untuk melaksanakan ujian tidur.

Dia berkata bilangan hospital yang mempunyai kemudahan ini juga terlalu sedikit bilangannya di negara ini berbanding keperluan serta bilangan pesakit.

“Mengambil contoh di Negeri Sembilan, pesakit perlu menunggu lebih enam bulan untuk menjalani ujian tidur di Hospital Serdang atau di Hospital Putrajaya. KKM komited untuk menambah baik perkhidmatan ini dengan meningkatkan kemudahan makmal tidur di semua hospital yang mempunyai kepakaran ORL,” katanya.

Khairy berkata ini termasuk menyediakan peralatan yang sesuai untuk tahap satu polysomnography iaitu ujian yang terbaik untuk masalah OSA.

Khairy menjelaskan gangguan tidur atau ‘sleep apnea’ iaitu keadaan apabila seseorang itu berhenti bernafas sewaktu tidur didapati semakin meruncing dengan sekitar 15 peratus hingga 30 peratus rakyat di Malaysia menghidapi masalah itu.

"Antara gejala utama yang dialami oleh seseorang berkemungkinan menghidapi sleep apnea ialah berdengkur yang kuat serta berhenti bernafas seketika semasa tidur; mengantuk yang melampau di siang hari serta tertidur sewaktu memandu (microsleep).

"Kebanyakan masa sleep apnea hanya dianggap sebagai ‘masalah berdengkur’, tetapi keadaan ini lebih serius dan memerlukan perhatian segera. Sleep apnea adalah sangat bahaya kerana ia bukan sahaja boleh menyebabkan kemalangan tetapi jika tidak dirawat, boleh menyebabkan penyakit kronik seperti darah tinggi, serangan jantung, lemah jantung serta angin ahmar," katanya.

Khairy berkata menerusi kajian Jurnal Perubatan Respiratori Lancet 2019, kira-kira 77.2 peratus rakyat di negara ini dianggarkan mengalami OSA tahap rendah, berbanding 7.8 peratus rakyat Hong Kong yang dianggarkan menghadapi masalah serupa.

Selain itu, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melaporkan sebanyak 1,305 kematian jalan raya dari 2011 hingga 2021 berpunca daripada kemalangan akibat pemandu kenderaan yang tertidur (microsleep) semasa mengoperasikan kenderaan mereka.

-Bernama

Lihat Komen
ADS