Paling Popular
Terkini

Sebagai Orang Asli di negeri Kelantan, kehidupan Jimi Angah berkait rapat dengan tanah dan hutan. Hutan menyediakan bekalan harian dan menjadi sebahagian daripada cara hidup masyarakatnya untuk bergenerasi lamanya. Suku kaumnya, Temiar, merupakan masyarakat Orang Asli terbesar di Malaysia.Pada satu pagi tahun lalu, Jimi menjalani harinya seperti biasa. Namun, tidak dijangka dia ditawarkan sejumla wang pada hari itu.

“Kamu pengerusi Kampung Keturunan Tanah Wilayah Kampung Wuk, bukan?” 

Jimi mengimbau semula pertanyaan lelaki tersebut, “Kamu mahu apa-apa daripada kami?”

Selaku ketua kampung di situ, Jimi mudah cam bahawa lelaki tersebut tidak berasal dari kawasan itu. Percakapan dan penampilannya seperti “tauke Cina”, kata Jimi.

Curiga dengan niat lelaki tersebut, Jimi menolak dengan baik.

Tidak dapat menerima penolakan tersebut, tauke itu menarik tangan Jimi lalu membawa dia turun bukit ke sebuah Toyota Hilux yang terletak di luar kampung. 

Jimi rasa amat tidak selesa apabila lelaki itu membuka pintu belakang kereta dan menunjukkan sebuah beg.

“Saya telah tawarkan ini kepada kampung atas sedikit daripada kampung kamu,” kata lelaki tersebut, menurut ingatan Jimi.“Mereka ambil, malah minta lebih banyak wang! Saya boleh berikan rumah, air paip dan wang.”

Jimi mula sedar apa yang berlaku – syarikat-syarikat balak telah lama menawarkan duit serta pembangunan untuk orang-orang kampung, dengan pulangan mendapat akses untuk menebang pokok-pokok di tanah adat yang dilindungi. 

Lelaki itu berkeras namun Jimi juga tegas dengan pendiriannya.

“Saya tolak semua yang ditawarkan,” kata Jimi. Dia tidak mahu menjual tanahnya – dan cara hidup orang-orangnya – kepada sesiapa pun.

Namun di lubuk hati, Jimi resah. Dia sedia maklum dengan kisah masyarakat Orang Asli diusir keluar – kadangkala secara ganas – apabila tidak memberi laluan untuk syarikat balak.

Tekanan luaran, perselisihan dalaman

Sejak tahun 2010, aktivis dari Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) menolak aktiviti pembalakan, perlombongan dan perladangan yang menceroboh hutan, kampung dan cara hidup tradisional mereka.

Mereka membuat banyak sekatan jalan untuk cuba memberhentikan operasi itu. Ada kalanya, pertembungan menjadi agresif sehingga membahayakan nyawa.

Dalam peristiwa yang mendapat perhatian nasional pada September 2016, aktivis-aktivis JKOAK cuba menyekat jalan bagi mengelakkan sebuah syarikat balak daripada membersihkan tanah di kawasan konflik di Gua Musang, Kelantan.

Penganjur sekatan jalanan di Gua Musang pada tahun 2016.

Selepas pertemuan yang tegang, seorang lelaki menggunakan gergaji rantai untuk menghancurkan struktur buluh yang didirikan, walaupun aktivis-aktivis berpaut pada binaan tersebut. Tiga aktivis daripada kumpulan tersebut ditahan sekejap dalam trak dan diugut untuk ditangkap. Sekatan itu kemudian dirobohkan pembalak. Tiga buah lori, dengan muatan balak diletakkan berdekatan, menghancurkan semua yang tertinggal. Dalam kekecohan itu, aktivis-aktivis di situ mendakwa terdapat seseorang yang tidak dikenali muncul dari salah sebuah kenderaan pembalak lalu melepaskan dua das tembakan.

Tidak ada yang tercedera. Sekatan tersebut hanyalah salah satu daripada banyak percubaan lain oleh aktivis sejak bertahun-tahun lamanya.

Kebanyakan mereka berasa sia-sia berdepan syarikat-syarikat besar dan pihak berkuasa tempatan yang memberi lesen kepada mereka.

Tambahan pula, ada lagi cabaran di kalangan Orang Asli, yang menyebabkan perpecahan dalam perjuangan mendapatkan hak tanah adat.

Kampung-kampung di situ menerima pembayaran demi mendapatkan pembangunan serta akses kemudahan. Dengan lebih daripada 20 kampung besar yang dikaji JKOAK, sekurang-kurangnya lapan daripada jumlah itu mempunyai penduduk yang “propembalak”. Mereka lihat pembangunan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat besar sebagai cara untuk metambah baik kehidupan mereka.

Daripada perbincangan mendalam dengan kampung-kampung yang terkesan, JKOAK memahami bahawa ketua-ketua kampung menerima pembayaran daripada syarikat-syarikat itu untuk mendapatkan akses terhadap tanah adat. Namun jumlah yang diberikan tidak cukup untuk dibahagikan kepada semua orang dan akhirnya memanfaatkan hanya segelintir.

Buat mereka yang tidak bersetuju dengan pencerobohan tanah adat mereka lihat pembayaran itu sebagai rasuah. Apabila kejadian sebegini berlaku lebih kerap, sebuah kampung cuba menghalang projek sebuah syarikat balak dengan membawa isu itu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Undang-undang tak jelas keruhkan keadaan

Pada Jun 2016, diketuai oleh Musa Nor Apat dan Anjang Rangget, komuniti Temiar di Kelantan membuat laporan kepada SPRM. Mereka menuduh sebuah syarikat balak cuba merasuah Orang Asli supaya memberikan laluan untuk pembalakan di tanah adat.

Dua pemimpin Temiar itu berkata wakil daripada syarikat itu meninggalkan RM1,000 dan makanan dia luar dewan adat kampung mereka, setelah gagal memujuk mereka.Peristiwa ini berlaku selepas sebuah masyarakat Orang Asli mengadakan bantahan dan sekatan jalan berskala besar bagi mengelakkan projek pembalakan. Hal ini meyakinkan Musa dan Anjang bahawa syarikat itu cuba mengelakkan penentangan dengan menghulurkan wang dan makanan.

Namun begitu, SPRM tidak menjumpai sebarang kes rasuah yang dilaporkan ke atas syarikat tersebut, disebabkan ketiadaan dokumen rasmi yang membuktikan tanah itu milik masyarakat Temiar. Apabila tiada pembuktian hak milik tanah, dianggap mereka tidak boleh disuap untuk mendapatkan sesuatu yang mereka tidak dapat luluskan.

Sesetengah berpendapat pembayaran sebegitu sebagai rasuah, manakala yang lain melihatnya sebagai pampasan atas niat yang baik.

Yogeswaran Subramaniam (paling kiri) berbincang bersama masyarakat Orang Asli

Yogeswaran Subramaniam cukup faham akan isu perundangan yang melibatkan Orang Asli. Peguam dan ahli akademik ini pakar dalam penyelidikan mengenai hak tanah Orang Asli di Semenanjung Malaysia sejak tahun 2006. Dia juga menyediakan khidmat guaman suka rela (pro bono) bagi beberapa kes mahkamah penting yang melibatkan isu hak tanah adat.

Pasa pendapanya, keputusan SPRM tidak salah, tetapi agak “terbatas”, kerana ia tidak mendalami isu mustahak yang Orang Asli bagi membuktikan hak tanah adat mengikut undang-undang.

Mahkamah Tinggi telah mengiktiraf hak tanah adat Orang Asli. Yogeswaran memetik keputusan mahkamah seperti kes Sagong Tasi dan Adong Kuwou sebagai contoh.  Keputusan-keputusan ini melindungi hak Orang Asli mengikut keputusan perundangan duluan.

Namun di Kelantan, kerajaan negeri mengikut apa yang dikenali sebagai undang-undang bertulis, berdasarkan statut. Mereka tidak merujuk kepada perintah duluan. Perkara ini membebankan Orang Asli. Mereka perlu membuat kajian meluas untuk setiap kes bagi membuktikan hak mereka terhadap wilayah yang dipertikai. Kebanyakan daripada mereka tidak mampu melalui proses yang rumit dan lama.

“Masalahnya kerajaan negeri Kelantan hanya melihat undang-undang bertulis. Mereka sanggup mengabaikan prinsip dan keputusan daripada Mahkamah Tinggi yang menyebut hak Orang Asli ke atas tanah adat mereka.”

Kerajaan Kelantan berbuat sedemikian, katanya, supaya guna pakai tanah dapat diputuskan oleh kerajaan dengan lebih mudah. Ini termasuk mengeluarkan lesen balak. Aktiviti pembalakan dapat menjana pendapatan negeri, walaupun ia menggugat hak tanah Orang Asli

Hal ini juga tidak selari dengan Perisytiharan PBB mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP), yang ditandatangani Malaysia pada tahun 2006. UNDRIP merupakan badan antarabangsa utama yang menyediakan pengiktirafan dan perlindungan bagi tanah orang asal, wilayah dan sumbernya. Kata Yogeswaran, Malaysia gagal melaksanakan prinsip yang mereka persetujui secara konsisten.

“Selama bertahun-tahun kita dapat lihat dengan jelas, tidak ada gesaan politik untuk melindungi hak tanah adat Orang Asli di Semenanjung Malaysia,” kata Yogeswaran. “Hal ini bukan keutamaan kerajaan”.Ketika dihubungi, Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan tidak memberikan sebarang maklum balas.

Harapan dalam perjuangan

Walau berdepan dengan kesukaran, beberapa kemenangan memberi harapan kepada Orang Asli.

Pada tahun 2017, disokong oleh JKOAK, masyarakat Orang Asli memenangi pertarungan undang-undang setelah enam tahun menentang kerajaan Kelantan dan Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan. Mahkamah Tinggi memberikan masyarakat tersebut hak ke atas lebih daripada 9,300 hektar tanah di Pos Belatim, Gua Musang. Ia juga membatalkan perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan Kelantan untuk membangunkan sebuah tapak di kawasan itu.

Walaupun kemenangan yang melelahkan ini berjaya membawa perhatian umum terhadap nasib mereka, Yogeswaran berkata ia hanya akan ada kesan jangka masa panjang jika orang awam dapat lihat Orang Asli sebagai aset untuk Malaysia. Dia nampak peranan yang penting mereka dalam projek pemuliharaan alam semula jadi yang boleh menyumbang kepada ekonomi.

“Jika kita boleh berikan tempat pemuliharaan ini sebuah nilai ekonomi, sudah tentu tiada siapa akan berani menceroboh wilayah Orang Asli,” katanya.Sementara itu, di Kampung Wuk, Jimi tetap bertegas untuk melawan sesiapa yang cuba merampas tanah Orang Asli.

“Kami akan menolak semua tawaran pembangunan (pemaju) hingga ke akhir hayat.

“Begitulah bagaimana kami menang daripada satu kes ke kes-kes yang lain di mahkamah dan dapatkan semula hak kami... sebab bagi kami, tanah kami lebih bernilai daripada wang yang mereka boleh tawarkan.”Selain pertarungan di arena luar, JKOAK terus menekankan kepentingan perbincangan antara pecahan kumpulan pro dan antipembalak di kalangan Orang Asli. Sebarang kejayaan melindungi tanah adat mereka mampu menyatukan semula dua kem tersebut untuk kebaikan masa depan dan kehidupan mereka.


Mustafa Along, Nora Kantin dan Axcii Along merupakan ahli JKOAK. Artikel ini dihasilkan dengan sokongan Kesatuan Eropah, melalui geran Internews Malaysia. Isi kandungan artikel ini adalah tanggungjawab Internews dan tidak melambangkan pendirian Kesatuan Eropah. 

Lihat Komen
ADS