Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan batal keputusan hapus harga siling ayam
Diterbitkan:  Jun 24, 2022 6:07 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Putrajaya telah membatalkan keputusannya untuk menghapuskan harga siling ayam berkuat kuasa bulan depan.

Perkembangan itu hadir selepas kebimbangan dibangkitkan mengenai satu lagi pusingan inflasi selepas kerajaan membenarkan pengapungan bebas harga ayam dan telur ayam walaupun kerajaan berjanji untuk menyalurkan bantuan yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan agar tidak dibebani dengan peningkatan kos sara hidup.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata harga siling baru itu akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan tidak lama lagi.

"Kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

"Harga siling baru akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

"Keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup," katanya.

Harga siling bagi ayam dan telur ayam telah dilaksanakan pada 5 Feb, dan seterusnya dilanjutkan hingga 30 Jun. Pada masa ini, harga siling bagi ayam standard ditetapkan pada RM8.90 sekilogram di Semenanjung Malaysia.

Kerajaan kemudian memutuskan ia tidak akan memberi subsidi kepada penternak ayam tetapi menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasar sebagai ganti kawalan harga.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan tarif air dan elektrik di Semenanjung Malaysia.

"Kadar tarif air dan kuasa akan kekal sama. Kerajaan tetap komited untuk menampung subsidi bernilai RM5.8 bilion walaupun terdapat peningkatan mendadak dalam kos bahan api dan penjanaan lain," katanya.

Ismail Sabri berkata rebat dua sen/kWj untuk pengguna domestik di semenanjung manakala surcaj minimum 3.70 sen/kWj untuk pengguna komersial dan industri akan kekal.

Pada Januari, Putrajaya menarik balik keputusannya untuk meluluskan tarif elektrik baru bagi 2022-2024 yang akan dilaksanakan mulai 1 Feb.

Kerajaan dilaporkan akan mengkaji semula tarif elektrik, yang sepatutnya pada 1 Julai.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) tertekan dengan peningkatan kos penjanaan berikutan permintaan tenaga yang melonjak, gangguan bekalan bahan api, serta kekurangan minyak, gas dan arang batu yang semakin meningkat di seluruh dunia, yang menyebabkan harga tenaga global melambung tinggi.

Pada akhir tahun lalu, harga arang batu melonjak kepada AS$200 (RM846) setan, meningkat daripada sekitar AS$50 setan pada pertengahan 2020; menjelang akhir Mei 2022, harga arang batu telah meningkat kepada AS$434 setan, dengan arang batu menyumbang 59% daripada sumber utama penjanaan elektrik Malaysia.

TNB Fuel Services memperoleh arang batu dari Indonesia, Australia, Afrika Selatan dan Rusia, tetapi Indonesia menyumbang kira-kira 65% daripada keperluan arang batu TNB.

Lihat Komen
ADS