Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga naik: Nanti Umno cadang tubuh lembaga haiwan lain pula - Rafizi
Diterbitkan:  Jun 25, 2022 5:18 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Bakal timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menyifatkan cadangan Umno agar sebuah lembaga kebangsaan ditubuhkan bagi menangani isu peningkatan harga ayam sebagai satu jenaka.

"Idea Umno untuk menangani masalah kenaikan kos makanan dan sara hidup ialah dengan menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Kebangsaan. Selepas ini apabila harga kambing pula naik, Umno akan menubuhkan Lembaga Kambing Kebangsaan.

"Akhirnya, tindakan ini hanya menambah bebanan kewangan kepada rakyat yang terus menanggung gaji, elaun dan belanja ahli-ahli politik dari parti-parti mereka yang dilantik untuk menjadi bos-bos kepada lembaga ayam, lembaga kambing dan lain-lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rafizi, apa yang diperlukan adalah mewujudkan stok penimbal (stockpile) serta penstrukturan semula sejumlah kementerian agar pengurusan rantaian bekalan ditangani dengan lebih berkesan tanpa pertindihan kuasa antara kementerian.

Dia berkata krisis pada masa ini tidak begitu berbeza dengan apa yang berlaku pada era 1970-an, ketika berlakunya perang dan konflik geopolitik, inflasi, sekatan bekalan minyak mentah dan kekurangan bekalan bijirin.

"Negara-negara yang lebih bersedia (dari segi dasar kelangsungan makanan, keupayaan kerajaan menyelaraskan kembali bekalan makanan dan kekukuhan kewangan negara) berjaya menangani gangguan sebegini tanpa menyebabkan kesengsaraan rakyat, sedangkan negara-negara yang lemah tadbir urusnya akan menyeksa rakyat (seperti yang berlaku di Sri Lanka sekarang)," katanya.

Kerajaan yang dipimpin Umno-PAS-Bersatu tidak sepatutnya menyalahkan konflik antarabangsa bagi menutup kegagalan mereka, katanya lagi.

Strategi stok penimbal

Ketika krisis makanan pada era 1979-an, kata Rafizi, konsep stok penimbal terbukti berkesan dan telah digunakan sehingga kini.

"Dasar stok penimbal memberi kuasa dan peruntukan kepada kerajaan persekutuan untuk menggunakan peruntukan untuk membeli dan menyimpan secara pukal bekalan makanan dan keperluan utama rakyat (termasuk petrol dan diesel).

"Simpanan pukal stok penimbal ini akan digunakan dengan disuntik ke pasaran apabila ada gangguan bekalan yang menyebabkan kenaikan harga mendadak," katanya sambil menambah langkah itu juga akan membantu menstabilkan harga barangan keperluan.

Katanya, ada banyak cara dan instrumen kewangan yang boleh digunakan untuk membina stok penimbal negara, antaranya hedging atau kontrak pembelian masa depan.

Justeru, katanya lagi, kerajaan patut menubuhkan badan seperti National Commission on Supplies and Shortages Amerika Syarikat, yang merupakan badan bebas yang bertanggungjawab membina stok penimbal bagi menguruskan risiko gangguan bekalan makanan.

"Suruhanjaya ini perlulah bertanggungjawab kepada Parlimen dan dipantau sekeras-kerasnya untuk mengelakkan peruntukan membina stok penimbal disalahgunakan oleh unsur-unsur rasuah," katanya.

Selain itu, Rafizi juga mencadangkan beberapa kementerian diselaraskan dan dijajarkan semula.

"Sepatutnya, kuasa dan tanggungjawab menggubal, melaksana, menyelia dan menguatkuasa dasar dan undang-undang yang melibatkan keseluruhan rantaian bekalan makanan (dari huluan yang menghasilkan bekalan makanan kepada hiliran yang mengedar dan menetapkan harga makanan) dipusatkan di sebuah kementerian sahaja.

"Ini membolehkan perancangan menyeluruh bagi seluruh rantaian bekalan makanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan apabila pertindihan kuasa (seperti yang berlaku sekarang) dihapuskan," katanya.

Pada masa ini, dia berkata terdapat empat kementerian yang terlibat dalam soal rantaian bekalan makanan, iaitu Kementerian Industri Asas Tani, Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa.

"Ini belum lagi dikira berpuluh-puluh agensi yang ada di bawah kementerian-kementerian ini.

"Urusan mentadbir negara akhirnya dihabiskan dengan mesyuarat demi mesyuarat yang mengambil masa berbulan-bulan kerana ada ramai menteri yang perlu membuat keputusan," katanya lagi, sambil menambah keadaan itu diburukkan lagi dengan "menteri-menteri yang lebih sibuk berpolitik".

Dia berkata jika langkah-langkah ini dibuat sebelum ini, Kabinet tidaklah berhadapan dengan situasi keputusan yang berubah-ubah dalam menangani peningkatan harga ayam.

Pada 21 Jun lalu, kerajaan mengumumkan subsidi untuk minyak masak botol dan harga siling untuk ayam dan telur akan dihapuskan. Subsidi untuk minyak masak dalam plastik pula akan diteruskan.

Namun tiga hari kemudian, kerajaan mengumumkan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran dan harga siling baru akan ditetapkan.

Pada masa sama, harga ayam kekal dijangka akan diapungkan dan subsidi untuk minyak masak botol dihapuskan.

Lihat Komen
ADS