Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin: Saya saksi hidup ada SD ahli parlimen Umno sokong Anwar

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Tajuddin Abdul Rahman, hari ini mendakwa memang wujud akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen Umno untuk menyokong Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Tajuddin berkata dia adalah saksi hidup yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti itu.

"Jajaran baru... saya saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangan hendak sokong Anwar jadi perdana menteri, dan ada surat dihantar pada istana," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Untuk rekod Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung Umno (PAU) tahun lalu menolak jajaran baru yang dikaitkan dengan DAP dan PKR.

Ahmad Zahid bagaimanapun mengakui bahawa parti itu hanya bersedia untuk menubuhkan jajaran politik yang baru selepas PRU15.

Ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno, dia menyifatkan ramai pihak salah tafsir terhadap jajaran politik baru yang didakwa akan berlaku sebelum pilihan raya umum.

Dalam pada itu Tajuddin berkata dia juga turut menandatangi SD berkenaan selepas beberapa kali ditekan pucuk pimpinan Umno.

"Saya tandatangan juga, saya saksi hidup, dia berbohong pada orang ramai...ahli di bawah ikutlah

"Memang ada tandatangan di Hotel Tamu di Kampung Baru, jangan nafi," katanya lagi.

Tambah Tajuddin lagi, Ahmad Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak juga antara pihak yang menyekat ahli parlimen Umno daripada menyokong Ismail Sabri menjadi perdana Menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Katanya, 15 ahli Parlimen Umno disekat Ahmad Zahid dan Najib sehinggalah ke saat akhir.

"Umno berpecah ada setuju, ada yang tak setuju. 15 orang (ahli Parlimen) Zahid dan bossku pegang tak bagi tandatangan sampai saat akhir.

"15 kena pegang...tiap-tiap malam cari jalan nak pujuk, sampai akhirnya Tuanku (Agong) minta tiap-tiap ahli parlimen hantar kepada baginda nak siapa jadi perdana menteri," katanya.

Katanya lagi, keputusan Umno menamakan Ismail sebagai "poster boy" BN bagi menghadapi PRU15 adalah "pancing" supaya perdana menteri mengadakan pilihan raya awal.

Ditanya sama ada Mohamad Hasan layak untuk menggantikan Ahmad Zahid bagi memimpin Umno, dia menyifatkan timbalan presiden Umno itu sebagai pengecut dan tak layak untuk memimpin parti.

"Tak boleh pakai bila ketua disergah lari. Pada saya Tok Mat tak boleh pakai," katanya lagi.

Sebaliknya Ismail adalah individu yang layak untuk memimpin Umno memandangkan dia adalah perdana menteri, katanya lagi.

Lihat Komen
ADS