Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Marzuk tegur guna murid tadika untuk cabaran #makehimwannamarryme
Diterbitkan:  Jun 29, 2022 4:31 AM
Dikemaskini: 7:00 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary meluahkan rasa kecewa apabila kanak-kanak menurutnya dieksploitasi untuk meraih tontonan di media sosial.

Ahmad Marzuk mengulas mengenai video yang tular memaparkan murid tadika digunakan bagi menyahut cabaran #makehimwannamarryme di aplikasi TikTok.

Katanya, perbuatan sebegitu tidak boleh diambil ringan, apatah lagi jika ia dirakam di masjid.

"Dunia hari ini, anak kecil di tadika pun sudah pandai berlumba-lumba menyahut cabaran #makehimwannamarryme di Tik Tok.

Ahmad Marzuk Shaary

"Sebab itulah, sukar untuk saya menerima wujudnya kejadian seperti video di bawah ini di masjid-masjid kita.

"Anak kecil yang hadir ke masjid, sukarela atau terpaksa, berbaris lurus di saf atau melompat terpekik, kesemuanya adalah permata yang kita perlu santuni," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dua hari lalu sebuah portal berita melaporkan pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu menyelar tindakan guru di sebuah tadika yang didakwa menggunakan murid tadika untuk membuat ‘content’ trend menari ‘Marry Me’ yang tular di aplikasi Tik Tok.

Dia yang dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi, berkata banyak pihak yang meletakkan ‘tag’ berhubung video tular berkenaan kepadanya.

Jelasnya lagi, dia terkejut apabila melihat video memaparkan murid lelaki menyarungkan cincin kepada seorang murid perempuan, sebelum kanak-kanak perempuan itu berjoget sambil menutup muka seperti trend yang tular di TikTok ketika ini.

Video itu memperlihatkan kanak-kanak tadika mengenakan pakaian seragam berwarna biru dipercayai pakaian tadika.

“Ada ke disuruh budak lelaki sarungkan cincin pada jari budak perempuan. Elok disarung, terus budak tu joget-joget sambil tutup muka. Kau (guru) ingat benda ni kelakar ke? Nampak ‘sweet’ bila budak kecil yang buat? Musibah betul,” kata Mohd Fairuz.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk menggesa supaya orang ramai menjadikan masjid sebagai Salah satu pusat bimbingan bagi kanak-kanak selain di sekolah.

"Sahabat-sahabat, janganlah kita mengasingkan peranan masjid dalam pendidikan anak-anak.

"Pendidikan Islam tidak cukup dengan hanya di sekolah. Masjid adalah tempat terbaik untuk kita mencanai anak-anak muda yang akan menjadi penyambung mata rantai perjuangan Islam.

"Mereka inilah yang akan menjadi benteng agama di saat anak-anak muda yang lain terbenam hanyut dengan arus hedonisme yang rancak menyerang pemikiran anak muda Islam," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS