Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib selar Dr M - Perlu bertanggungjawab, jelaskan, baru jantan
Diterbitkan:  Jun 29, 2022 12:54 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Ahli Parlimen Pekan Najib Razak hari ini mengkritik Dr Mahathir Mohamad dengan menyamakannya dengan bekas peguam negara Tommy Thomas, yang enggan memberikan kerjasama terhadap kerajaan berhubung siasatan isu tuntutan Pulau Batu Puteh.

Najib merujuk kepada tindakan ahli parlimen Langkawi itu yang meninggalkan inkuiri yang dipengerusikan oleh bekas peguam negara Apandi Ali semalam dengan tindakan Tommy pada Jan lalu yang memaklumkan bahawa dia tidak akan bekerjasama dengan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat dalam bukunya "My Story: Justice in the Wilderness".

“Seperti laporan polis yang merupakan arahan RCI BNM (Suruhanjaya Siasatan Diraja Bank Negara Malaysia) ditarik balik oeh kerajaan Pakatan Harapan dan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut ketika atok merupakan perdana menteri dan Tommy merupakan peguam negara.

Gambar Hiasan - Pulau Batu Puteh

“Jika begini, misteri kes kehilangan Pulau Batu Puteh, kes-kes mahkamah ke atas pemimpin PH digugurkan begitu sahaja, kes-kes pendakwaan terpilih dan kenapa hakim baharu yang langsung tiada pengalaman kes jenayah boleh pulak tiba-tiba dipindah ke mahkamah jenayah untuk ganti hakim bagi kes paling berprofil tinggi saya biarpun perbicaraan sudah bermula akan tetap menjadi misteri,” sindirnya, yang turut meninggalkan pautan laporan berkenaan isu tersebut.

Najib yang juga bekas perdana menteri turut menyifatkan tindakan Mahathir dan Tommy yang enggan memberikan kerjasama sebagai tidak menghormati RCI.

“Perangai atok sebiji dengan si Tommy. Enggan beri kerjasama kepada kerajaan hari ini,” katanya menerusi catatan Facebook.

Pagi semalam, Mahathir meninggalkan pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC), tempat dia sepatutnya diwawancara oleh panel salah laku tort berkaitan isu kedaulatan Pulau Batu Puteh, sebagai tanda protes terhadap Apandi.

Apandi Ali

Bekas perdana menteri itu, berkata, dia berbuat demikian kerana panel itu masih diketuai Apandi, yang menurut Mahathir mempunyai konflik kepentingan dalam kes tersebut.

Najib menambah, seperti Mahathir juga perlu bertanggungjawab berhubung skandal dana BNM sebanyak RM33 bilion yang didakwa hilang begitu sahaja, malah tiada seorang pun yang pernah bertanggungjawab atas kehilangannya.

“Sekiranya pernah diberi tampuk kuasa, korang perlu bertanggungjawab dan menjelaskan pada negara dan rakyat. Itu baru jantan,” katanya.

Pada Julai 2019, ketika pentadbiran PH, menteri di jabatan perdana menteri ketika itu, Liew Vui Keong berkata laporan polis berdasarkan dapatan RCI mengenai skandal tukaran mata wang asing pada 1990-an dulu diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut".

Liew berkata penelitian daripada dapatan itu mendapati ada kekurangan keterangan dokumentari bagi membuktikan dakwaan itu, kerana katanya kejadian berkenaan berlaku lebih 25 tahun dan dokumen asal mengenainya gagal diperolehi.

Lihat Komen
ADS