Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng: PM patut ketuai pasukan jihad inflasi, bukan Annuar
Diterbitkan:  Jun 30, 2022 10:12 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Lim Guan Eng hari ini mempersoal keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana tidak mempengerusikan sendidi Pasukan Khas Jihad yang ditubuhkan kerajaan bagi menangani inflasi.

Kata pengerusi DAP itu Ismail Sabri sebaliknya melantik Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa untuk mengetuai badan tersebut dan memungkinkan ia gagal berfungsi seperti sepatutnya.

"Jawatankuasa itu akan menjadi satu lagi 'kedai ceramah kosong' tanpa sebarang tindakan konkrit jika Ismail Sabri tidak mengambil tanggungjawab secara peribadi untuk memberi komitmen bagi menangani krisis kewangan teruk yang dihadapi rakyat dan perniagaan.

"Apa gunanya menubuhkan satu lagi jawatankuasa khas kabinet enam anggota apabila ketuanya, Annuar malah gagal mendapatkan fakta tepat mengenai analisis kos-faedah pemansuhan subsidi untuk ayam, telur dan minyak masak (kecuali untuk pek 1kg)?

“Annuar telah membuat dakwaan palsu minggu lepas bahawa kerajaan memutuskan untuk meningkatkan nilai subsidi dengan mengkaji semula subsidi semasa walaupun kerajaan hanya menyalurkan kepada rakyat RM630 juta daripada RM960 juta penjimatan daripada pemansuhan subsidi untuk ayam, telur dan minyak masak (kecuali pek 1kg)," katanya.

Kenyataan bekas menteri kewangan itu merujuk kepada kenyataan Annuar kepada media kira-kira seminggu lalu.

Dalam kenyataannya Annuar dilaporkan menafikan khabar angin bahawa Putrajaya akan menghapuskan subsidi tertentu menjelang akhir bulan ini.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan kabinet memutuskan untuk menubuhkan pasukan petugas khas yang akan ditugaskan mengumpul maklumat daripada semua kementerian, agensi dan orang ramai berkaitan bagi merangka dan menyelaras strategi bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi.

Pasukan petugas khas itu diketuai Annuar serta beberapa anggota kabinet iaitu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS