Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kontraktor Bumiputera Kelas F berdemo di Putrajaya hari ini
Diterbitkan:  Jul 1, 2022 1:59 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf Malaysia) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kewangan bagi menuntut campur tangan menterinya, Tengku Zafrul Tengku Aziz dalam beberapa perkara.

Presidennya, Tukiman Radion berkata mereka menuntut Kementerian Kewangan mengembalikan pengurusan Kelas F (G1 Bumiputera) kepada Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) serta mahu kerajaan menangani kenaikan harga barang binaan.

Ia agar kalangan kontraktor kelas itu dapat diuruskan dengan lebih baik, katanya.

"Kita sangat berpengalaman dahulu bersama PKK di mana kami dapat diurus dengan begitu baik dan mesra rakyat. Sekarang kami diuruskan oleh pihak CIDB di mana sistem mereka sukar diguna pakai dan banyak melibatkan kewangan.

"Sebab bila nak perbaharui lesen, kita kena bayar sekali dan kalau gagal kita kena bayar lagi dan seterusnya. Sampai kadang-kadang kami sendiri tak faham sistem apakah yang diguna pakai untuk perbaharui lesen-lesen terbabit," katanya.

Tukiman berkata demikian selepas perhimpunan aman dan penyerahan memorandum enam muka surat kepada Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Tukiman berkata antara perkara yang paling membebankan kontraktor kelas itu ketika ini adalah tekanan daripada pihak CIDB untuk mereka menaikkan gred.

Jika tidak ,katanya, taraf kontraktor bumiputera akan ditarik balik dan mereka akhirnya terpaksa menaikkan gred.

“Maknanya, kami tidak ada lagi keistimewaan sebagai kontraktor kecil bumiputera. Bila kita tidak ada taraf bumiputera ini, kita tidak boleh ambil projek kerajaan lagi.

“Amat sukar utuk kita perolehi projek swasta manakala kerja ubah suai rumah dikuasai oleh warga asing, jadi kita hanya dapat projek kerajaan," katanya lagi.

“Jadi di mana kami nak cari makan? inilah kerja-kerja kami. Kebanyakan kami sudah berusia 50 tahun ke atas. Siapa nak ambil kami bekerja? Jadi kami merayu kepada kerajaan, perkara ini jangan dilakukan.

“Kami harapkan kerajaan dapat berbuat sesuatu bagi membahagiakan kontraktor kecil. Itu harapan kami,” katanya.

Semementara itu, naib presidennya Sazali Mohamad Yasin berkata memorandum tersebut dihantar bagi memaklumkan kedudukan sebenar permasalahan yang dialami oleh kontraktor kelas F seluruh Malaysia, seperti kenaikan harga bahan mentah.

“Kami mohon pertimbangan dan keputusan sewajarnya daripada Menteri Kewangan mengenai isu ini. Memorandum ini untuk memperkasakan kontraktor kelas F yang bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153.

“Kami sangat tertekan dengan permasalahan hari ini dan rata-ratanya menyokong...itu sebabnya kami berkumpul di Kementerian Kewangan untuk memastikan kerajaan membela kami,” kata Sazali.

Dalam pada itu, Tukiman berkata, jika memorandum itu tidak mendapat respons yang baik daripada Tengku Zafrul, pihaknya tidak teragak-agak untuk meminta campur tangan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Lihat Komen
ADS