Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM nafi HKL berdepan kekurangan doktor
Diterbitkan:  Jul 1, 2022 6:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menafikan terdapat kekurangan doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA).

Ini sebagai tindak balas kepada surat tular yang mendakwa pengurusan tertinggi HKL mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan perkara itu.

Dalam satu kenyataan, MOH berkata mesyuarat HKL itu hanya membincangkan penyelarasan bagi memastikan perkhidmatan perubatan di hospital-hospital itu akan terus berjalan lancar apabila urusan pemindahan berlaku hujung bulan ini.

Menurut kementerian itu, sejumlah pegawai perubatan akan terlibat dalam pemindahan keluar pada 18 Julai ini.

"Selaras dengan pertukaran keluar Pegawai Perubatan dari HKL dan HTA pada 18 Julai 2022, KKM juga telah merancang pertukaran masuk pegawai perubatan dari negeri lain ke HKL dan HTA pada tarikh yang sama bagi menggantikan pegawai perubatan yang bertukar keluar.

"Urusan pertukaran ini adalah prosedur biasa yang dilaksanakan oleh KKM bagi melaksanakan arahan dan memproses permohonan pertukaran pegawai dari semasa ke semasa.

"Sehubungan itu, isu berlaku krisis kekurangan pegawai perubatan di HKL dan HTA adalah tidak berbangkit," katanya.

HTA merujuk kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, yang terletak bersebelahan dengan HKL.

Semalam, kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) memuat naik hantaran Twitter dalam surat dalaman yang ditandatangani oleh timbalan pengarah (perubatan) HKL Dr Marina Abdullah Sani menyatakan bahawa mereka menjangkakan kekurangan pegawai perubatan dalam beberapa minggu akan datang berikutan keluarnya doktor pelatih bermula dari 18 Julai.

Kumpulan itu juga berkata bahawa krisis kekurangan doktor hanya akan bertambah buruk.

Bagaimanapun, kenyataan KKM hari ini adalah berbeza dengan kenyataan yang diberitahu oleh sumber yang rapat dengan HKL kepada Malaysiakini.

Sumber itu mendakwa bahawa perpindahan pegawai perubatan adalah disebabkan oleh kontrak lanjutan - yang ditawarkan kepada doktor pelatih tanpa menjanjikan peranan tetap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS