Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Muhyiddin temui PM bangkit isu lantikan TPM, menteri

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan lantikan jawatan baru termasuk jawatan timbalan perdana menteri.

Katanya, beberapa perkara penting telah dibangkitkan dalam pertemuan tersebut berlandaskan kandungan perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dan perdana menteri.

"Saya dah jumpa perdana menteri beberapa hari yang lepas, saya telah mengutarakan beberapa perkara penting termasuk soal pelantikan dalam kerajaan bukan sahaja mengisi kekosongan.

"Tetapi pelantikan-pelantikan baru, yang perlu dipertimbangkan seperti yang terkandung dalam perjanjian PN dengan perdana menteri.

"Kita tidak minta lebih daripada itu, termasuk soal pelantikan menteri baru, timbalan perdana menteri, termasuk lantikan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), badan-badan berkanun dan peruntukan-peruntukan kerajaan," katanya pada sidang media selepas pelancaran PN Kelantan di Tanah Merah, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya sama ada kedudukan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin sudah dibincangkan dengan Ismail.

Zuraida sebelum ini keluar daripada Bersatu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sebagai rekod ahli parlimen Ampang itu dilantik sebagai menteri atas kapasitinya mewakili parti Bersatu.

Bagaimanapun parti itu menuntut agar Zuraida digantikan dengan wakil rakyat Bersatu yang lain.

Sementara itu Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh menegaskan perkara yang dibangkitkan itu sudah dimaklumkan kepada Ismail Sabri.

"Perkara yang tersenarai itu saya dah maklumkan kepada perdana menteri, saya telah minta seberapa segera untuk buat keputusan yang saya harapkan," katanya.

Lihat Komen
ADS