Muatan pokok teratai yang berlebihan dipercayai punca menyebabkan sebuah bot terbalik mengakibatkan dua beranak lemas di sebuah kolam takungan di Taman Cahaya Sungai Chua, Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata muatan berlebihan dalam bot itu dipercayai menyebabkan ia hilang imbangan lalu terbalik.
Bernama sebelum ini melaporkan dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, bot dinaiki Mohd Adnan Johdi, 50, serta dua anak lelakinya Hakimi, 15, dan Mohamad Mustaqkim, 17, terbalik ketika mereka melakukan kerja membersihkan kolam takungan tersebut.
Bagaimanapun Mohamad Mustaqkim terselamat.
“Mangsa yang melakukan kerja-kerja pembersihan pokok teratai di dalam tasik (kolam takungan) sejak pagi sehingga kejadian berlaku,” kata Mohd Zaid dalam kenyataan malam tadi.
Katanya kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, untuk berhubung dengan pegawai penyiasat kes Sarjan Ariffin di Balai Polis Kajang.
Mayat Mohd Adnan ditemukan pada jam 5.12 petang semalam di lokasi kira-kira 5 kilometer dari lokasi bot mereka tenggelam.
Mayat Hakimi pula ditemukan kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian pada 6.56 petang.
- Bernama
