Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenaikan harga barang: Kerajaan difitnah pembangkang - PM

Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan menjadi mangsa fitnah pembangkang apabila didakwa tidak mengambil peduli soal kenaikan harga barangan yang membelenggu orang ramai ketika ini.

Mengulas mengenai demonstrasi yang diadakan Amanah di Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur, Jumaat lalu perdana menteri berkata, bantahan tersebut sebenarnya gagal kerana ia tidak mendapat sambutan.

Ismail Sabri berkata, isu kenaikan harga barangan adalah fenomena yang melanda seluruh dunia dan kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan bagi memastikan harga barangan tidak melambung tinggi.

"Isu yang terbesar hari ini adalah isu kos sara hidup. Minggu lepas di Masjid Jamek Kampung Baru, satu parti pembangkang buat demonstrasi di dalam kawasan masjid, itu pun ada 40 orang saja yang sertai.

"Kalau buat kat luar tak ada orang yang nak sertai. Mereka buat pelbagai tuduhan," katanya di Kampung Gajah, Pasir Salak di Perak hari ini.

Menurut Ismail Sabri kerajaan sedar ada banyak barang yang mengalami peningkatan harga, malah dia sendiri membuat tinjauan rambang di premis perniagaan.

Katanya kemelut berkenaan tidak dapat dielakkan kerana isu kenaikan harga pelbagai barang keperluan bukan saja melanda Malaysia sebaliknya di peringkat global.

"Kita subsidikan makanan ayam (ternakan), subsidikan harga ayam RM700 juta untuk pastikan harga ayam kekal dengan harga siling. Begitu juga dengan harga barangan asas lain, turut disubsidikan dan kerajaan belanja sebaanyak RM70 bilion," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, di Kampung Gajah, Pasir Salak, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.

Dalam pada itu Ismail Sabri turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan akan menghapuskan subsidi pada 1 Jul.

Katanya, tiada pembatalan subsidi bagi barangan keperluan asas kecuali subsidi minyak masak botol - yang diperkenalkan kerajaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) - kini ditamatkan.

"Subsidi apa dibatalkan? Kita belanja RM4bilion untuk kekalkan RM2.50 sekilogram (harga minyak masak paket). Kalau tak subsidi RM9.50 sekampit satu kilogram.

"Jadi mereka terus berbohong seolah-olah tak ada Tuhan, kononnya 1 Jul semua subsidi ditarik balik," katanya.

Lihat Komen
ADS