Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi beri keterangan terhadap Syed Saddiq kerana takut didakwa

Seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini mengaku dia setuju memberi keterangan terhadap ahli parlimen Muar itu kerana takut didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abdul Hannaan Khairy, 29, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika dia disoal peguam tertuduh, Gobind Singh Deo.

Kata Pemuda Bersatu itu dia bimbang jika didakwa oleh agensi antirasuah berkenaan bagi kes lain.

Gobind: Berapa kali secara keseluruhannya kamu ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkenaan kes ini?

Abdul Hannaan: Saya tak ingat.

Gobind: Banyak kali?

Abdul Hannaan: Memang banyak.

Gobind: Dan kamu, apakah perasaan kamu? Adakah pada masa itu kamu rasa takut?

Abdul Hannaan: Takut.

Gobind: Takut kenapa? Kerana pihak SPRM ada tanya kamu berkenaan kes-kes yang lain juga, betul?

Abdul Hannaan: Saya tak pasti.

Gobind: Fikir baik-baik sebelum jawab. Kamu takut kerana SPRM ada tanya kamu kes-kes lain juga, betul?

Abdul Hannaan: Ya

Gobind: Dan kamu takut dituduh untuk kes-kes tersebut, betul?

Abdul Hannaan: Ya.

Kenyataan itu membuat Syed Saddiq menggeleng-gelengkan kepalanya.

Gobind: Jadi, kamu rela memberikan keterangan di atas (sebagai) balasan (agar) kamu tak dituduh untuk kes-kes tersebut?

Abdul Hannaan: Tidak

Gobind: Katakan yang benar, sebenarnya kamu setuju menjadi saksi Syed Saddiq kerana kamu takut dituduh untuk kes lain. Ini adalah mahkamah, kamu boleh katakan begitu.

Bagaimanapun Abdul Hannaan tidak segera menjawab soalan peguam terbabit sebaliknya kelihatan agak gugup sebelm memandang hakim, Azhar Abdul Hamid, dan bertanya: Yang arif, boleh saya pergi ke tandas dulu?

Azhar: Jawab dulu soalan.

Abdul Hannaan: Ya.

Gobind kemudian memohon kepada mahkamah agar prosiding berhenti rehat seketika. Namun ahli parlimen Puchong itu sempat membuat permohonan kepada hakim agar saksi terbabit tidak bercakap semasa ke tandas.

[Laporan lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS