Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita didakwa buat hantaran 'lucah' sokong jenama pad
Diterbitkan:  Jul 5, 2022 6:53 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Seorang wanita yang disiasat susulan hantaran di Twitter menyokong jenama produk kebersihan wanita minta dibicarakan atas tuduhan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar dengan memuat naik gambar lucah di akaun Twitternya.

Bernama melaporkan Amira Nur Afiqah Agus Salim, 25, seorang pengendali sebuah syarikat hotel mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norhasniah Abdul Razak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Ibu kepada seorang anak itu didakwa dengan sengaja membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah iaitu gambar lucah dengan niat menyinggung perasaan orang lain menerusi akaun Twitter ‘@amiranafqh’ pada 7.27 malam, 19 Sept 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama dan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika didapati bersalah, dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, dan memerintahkan dia melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, serta menetapkan 9 Ogos untuk sebutan.

Minggu lalu, Amira melancarkan kutipan derma dalam talian kerana pada mulanya dijangka jumlah jaminannya ditetapkan antara RM8,000 hingga RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nur Nazhzilah Mohamad Hashim, manakala Amira diwakili peguam Adly Zulfadhly Zulkefly.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS