Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesan rama-rama: Rafizi menang, peluang BN menang besar senang
Diterbitkan:  Jul 7, 2022 1:37 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Kemenangan Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu baru-baru ini diraikan ramai penyokong pembangkang.

Bagaimanapun kaji selidik yang dijalankan oleh firma analisis Rafizi, Invoke Solutions (Invoke), merumuskan kemenangan bekas ahli parlimen Pandan itu kemunginan besar akan memberikan kesan songsang terhadap Pakatan Harapan (PH) dalam PRU akan datang.

Untuk rekod kaji selidik tersebut dijalankan sebelum PKR menjalankan pemilihan mereka baru-baru ini.

"Kemenangan untuk Rafizi kemungkinan besar akan membunuh sebarang peluang untuk 'khemah besar' pembangkang menjelang PRU k-15, dan memberi peluang cukup tinggi untuk BN mencapai kemenangan besar," kata Invoke dalam rumusan kaji selidik berkenaan.

Gagasan 'khemah besar' ialah cubaan menggabugkan pelbagai parti pembangkang di bawah satu payung bagi memastikan pertembuang satu lawan satu dengan parti kerajaan pada PRU akan datang.

Ia mendapat sokongan oleh beberapa pemimpin PH.

Idea tersebut muncul selepas keputusan dua pilihan raya negeri (PRN) - iaitu Melaka dan Johor - menunjukkan BN menguasai majoriti dua pertiga walaupun mendapat kurang daripada 45 peratus undi popular.

Kelebihan jangka panjang

Melalui sistem first-past-the-post (FPTP) yang diamalkan di negara ini, sesebuah parti hanya perlu memenangi kerusi terbanyak di kerusi untuk muncul sebagai pemenang tanpa perlu mendapat 50 peratus undi yang ada.

Rafizi secara terbuka sudah menyuarakan bantahan kerasnya terhadap pendekatan khemah besar.

Jika pola pengundian PRU ke-15 nanti sama seperti apa yang berlaku di Johor dan Melaka, ada kemungkinan besar untuk BN mencatat keputusan sama hasil daripada perpecahan undi pembangkang.

Ketika kemenangan besar BN itu mungkin menjadi mimpi ngeri buat pembangkang, Invoke berpendapat, keadaan itu memberi kelebihan buat PKR dalam jangka masa panjang.

"(Kemenangan Rafizi) juga berkemungkinan akan mempercepatkan proses penjanaan semula parti dan mewujudkan prospek jangka panjang yang lebih baik untuk parti dalam kalangan penduduk Malaysia," kata firma itu.

Rafizi diisytiharkan secara rasmi sebagai pemenang dalam persaingan untuk jawatan timbalan presiden PKR pada Isnin lalu.

Seorang lagi calon untuk jawatan tersebut ialah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang dilihat ramai mendapat sokongan presiden parti itu, Anwar Ibrahim.

Keputusan rasmi menunjukkan Rafizi menang dengan majoriti 16,668 undi.

Mahu bergerak solo

Sementara itu, mengenai sokongan orang ramai terhadap PKR, Invoke mendapati 35 peratus responden setuju untuk mendukungnya berbanding 19 peratus yang enggan, manakala 46 peratus lagi tidak membuat keputusan.

Bagaimanapun, Invoke berteori bahawa tahap sokongan terhadap PKR berkemungkinan mendapat dukungan penyokong DAP dan Amanah memandangkan mereka berada dalam gabungan yang sama.

“(Jumlah sokongan untuk PKR) berkemungkinan lebih rendah jika PKR menentang PH,” kata laporan itu.

Ketika ini terdapat sentimen yang semakin meningkat dalam kalangan pemimpin PKR agar parti itu menjauhkan diri daripada PH.

Dalam PRN Johor, PKR memutuskan untuk menggunakan logo sendiri berbanding simbol PH seperti yang dilakukan gabungan terbabit di Melaka beberapa bulan sebelumnya.

Tinjauan dalam kalangan ahli PKR menunjukkan 47 peratus menyokong agar parti itu bertanding sendirian, manakala 34 peratus menentangnya, dan 18 peratus tidak pasti.

Kaji selidik itu membabitkan 1,500 responden bukan daripada ahli PKR, selain 1,500 ahli parti dan dijalankan antara 1 Mac hingga 8 April.

Responden dibahagikan mengikut umur, jantina, kaum dan kedudukan sosioekonomi.

Lihat Komen
ADS