Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir Baling: Banyak kali amaran tebang hutan tapi tak diendah - NGO
Diterbitkan:  Jul 7, 2022 6:50 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Sebuah gabungan NGO alam sekitar berkata telah berulang kali memberi amaran mengenai penebangan hutan di sekitar Baling, Kedah - yang dipersalahkan secara meluas sebagai punca banjir besar 4 Julai lalu - tetapi tidak diendahkan.

Beachh berkata aktivis telah memberi amaran sejak 2018 bahawa penebangan hutan untuk memberi laluan kepada ladang durian di cerun bukit akan menyebabkan hakisan.

“Banjir lumpur telah menjejaskan penduduk kampung dan merosakkan ladang getah, kelapa sawit dan buah-buahan mereka.

"Sumber air bersih penduduk dari Gunung Inas telah dicemari bukan sahaja dengan kelodak dan lumpur tetapi juga dengan racun perosak dan baja yang digunakan untuk durian," kata Mohd Sobri Ramlee, jurucakap Beachh.

Mohd Sobri berkata beberapa ladang durian baru berada di lereng bukit melebihi had cerun yang disyorkan iaitu 25 peratus.

Dia juga mendakwa kolam mendapan sama ada pecah atau tidak dibina mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar. Dakwanya lagi, terdapat tidak cukup zon penampan antara kawasan yang dibersihkan dan sungai.

Mohd Sobri juga mendakwa tidak terdapat tumbuhan pelindung tanah yang mencukupi seperti tumbuhan menjalar di antara celah-celah pokok durian.

“Ini semua kemungkinan mengapa banjir yang begitu dahsyat berlaku. Kita memerlukan siasatan yang sewajarnya untuk mengetahui punca sebenar.

“Saya sangat sedih kerana mengenali ramai kawan di Kampung Iboi. Kami sudah lama memberi amaran tentang projek musang king ini.

"Kami mengulangi semula amaran ini semasa banjir dahsyat yang melanda Yan, Kedah Ogos lalu,” kata Mohd Sobri.

Banjir Kampung Iboi meragut tiga nyawa dan menyebabkan ratusan orang kehilangan tempat tinggal. Beribu-ribu lagi terjejas akibat pemotongan air, termasuk di Pulau Pinang.

Susulan banjir Baling, selain pentadbiran Menteri Besar Sanusi Md Nor yang dikritik, terdapat juga pihak yang menuding pentadbiran Mukhriz Mahathir antara 2013 dan 2016 kerana meluluskan ladang durian.

Menurut laporan Harakahdaily hari ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung meluluskan kawasan seluas 5,000 hektar di Gunung Inas pada 2007 sebagai kawasan tebangan balak kepada syarikat anak negeri Kedah dan syarikat usahasama.

Pentadbiran menteri besar PAS Azizan Razak pada 2008 pula telah menjadikan kawasan selepas penebangan hutan itu sebagai projek Ladang Rakyat untuk penananam getah.

Bagaimanapun selepas kerajaan negeri bertukar lagi PRU2013, projek Ladang Rakyat itu tidak diteruskan pentadbiran menteri besar Mukhriz Mahathir yang didakwa menggantikannya dengan projek ladang durian.

Namun, Sanusi dipetik Harakahdaily hari ini berkata dia telah mengarahkan pembatalan projek ladang durian itu dan menggantikan kawasan lain semasa Mesyuarat Exco di Baling seawal Julai 2020 lagi.

“Ketegasan kita kekal, tanaman Musang King hanya boleh ditanam di kawasan 20 peratus daripada kawasan kelulusan itu sahaja. Adapun kawasan yang telah lulus lebih daripada kuota itu kita lihat semula.

“Kot mana pun, pokok-pokok (balak) asal dah tak ada, tanamlah apa saja yang boleh mendatangkan manfaat kepada negeri dan rakyat.

"Cuma jangan tanamkan kepalsuan untuk memungut hasil daripada kebencian,” jelas Sanusi.

Lihat Komen
ADS