Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aksi wanita persenda Islam dalam perhatian Jawi
Diterbitkan:  Jul 9, 2022 5:07 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad mengesahkan seorang wanita yang tular kerana memperseda Islam kini dalam tindakan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Katanya, dia tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menghina Islam.

"Isu video tular wanita yang didakwa mempersenda dan menghina kesucian agama Islam sudah dalam tindakan pihak Jawi.

"Saya telah meminta pihak Jawi untuk mengambil tindakan berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada dengan kadar segera," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu tular satu video memaparkan seorang wanita yang tampil berpakaian sopan dan bertudung mengaku menghafaz 15 juzuk al-Quran pada awal persembahan komedinya.

Dia kemudian menanggalkan tudung dan pakaian asal sebelum tampil dengan gaya seksi di hadapan khalayak.

Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail, berkata pihaknya mengambil maklum berhubung video tular berkenaan dan siasatan awal sudah dilaksanakan oleh bahagian penguatkuasaan mereka.

Katanya kes berkenaan ketika ini disiasat kerana disyaki menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina.

Jika disabitkan bersalah, katanya, seseorang itu boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu Crackhouse Comedy Club dalam satu kenyataan awal berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya klip video yang menghina kesucian Islam itu.

Menurutnya, wanita berkenaan telah dihalang daripada mengadakan persembahan di kelab itu selepas ini.

Mereka juga, kata CH, telah membuat laporan polis mengenai insiden berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini.

"Untuk makluman awam, selepas berlakunya persembahan tersebut, individu berkenaan telah dilarang daripada kembali ke Crackhouse Comedy Club.

"Crackhouse Comedy Club telah memfailkan laporan polis mengenai insiden ini di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail," kata kenyataan ringkas yang disiarkan di Facebook rasmi mereka.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim, mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada Crackhouse Comedy Club.

Azmi juga memberitahu, kes berkenaan kini disiasat oleh Bukit Aman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS