Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad Bashah, bukan saya benar tanam Musang King - Mukhriz
Diterbitkan:  Jul 12, 2022 12:58 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir mendakwa, penanaman durian Musang King di ladang hutan di Gunung Inas, Baling, Kedah, dibuat ketika pentadbiran seorang lagi bekas menteri besar, Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mukhriz yang juga adalah Presiden Pejuang, berkata kerajaan negeri di bawah BN yang diterajui oleh Ahmad Bashah ketika itu membuat keputusan untuk menukar tanaman pokok getah klon balak (TLC) kepada durian Musang King.

Katanya, anak syarikat kerajaan Kedah, Kedah Agrodiamanahkan menanam semula kawasan itu namun gagal melaksanakannya dan syarikat Aman Mega pula dilantik untuk mengambil alih tanggung jawab tersebut.

“Syarikat itu dibeli oleh syarikat ECK. Ketika pentadbiran Ahmad Bashah, ECK dibenarkan menanam durian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, apabila dia kembali dilantik sebagai menteri besar pada 2018, usaha mengehadkan penanaman durian hanya mencapai 20 peratus.

Menurut Mukhriz, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga membenarkan peratusan itu untuk tanaman selain TLC dan tujuh spesies pokok hutan yang lain.

Bagaimanapun, katanya, penanaman durian bukan punca bencana banjir semata-mata, sebaliknya kawasan Hutan Simpan Kekal di Gunung Inas berisiko tinggi apabila ditukar status kepada ladang pertanian pada 2007 dan dijenamakan sebagai Ladang Sejahtera pada 2008.

“Perlu diingatkan sekali lagi bahawa penanaman semula walaupun membabitkan kerja teres tanah, bukanlah punca hakisan tanah dan banjir.

“Bencana itu tidak akan berlaku sekiranya hutan simpan tidak disentuh untuk tujuan pembalakan pokok bernilai tinggi dan aktiviti tebang bersih atas alasan Ladang Sejahtera sebelum 2013,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor, menafikan pentadbirannya terbabit dalam projek itu, sebaliknya menyalahkan kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinan Mukhriz yang menjadi menteri besar pada 2013 hingga 2016 dan 2018 hingga 2020.

Dakwanya, konsep ladang rakyat yang diperkenalkan kerajaan di bawah pentadbiran menteri besar daripada PAS, Allahyarham Azizan Abdul Razak dari 2008 hingga 2013 itu digagalkan Muhkriz kerana khuatir projek itu akan mengharumkan nama Azizan dan PAS dalam kalangan orang miskin.

Dalam kenyataannya, Mukhriz berkata, untuk rekod syarikat ECK yang menaja Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ketika itu, kemudian dianugerah projek mega lapangan terbang antarabangsa Kulim (KXP) oleh Sanusi.

Mukhriz turut mempersoal jika Kajian Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) ada dibuat ketika itu.

“Yang ditebang bukan hanya pokok bernilai tinggi, tetapi ditebang bersih atau cuci mangkuk untuk penanaman semula pokok TLC atau pokok hutan yang diluluskan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

“Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan PAS seperti yang diakui oleh menteri besar sendiri. Sekitar 2012 hingga 2013, saya antara pihak yang membantah projek Ladang Sejahtera di Kedah, bukan kerana pokok yang hendak ditanam, tetapi kerana hutan simpan digondolkan,” katanya.

Justeru, dia berharap supaya tiada lagi pihak yang membuat tuduhan terhadapnya dan kerajaan negeri yang terajuinya sebelum ini.

Lihat Komen
ADS