Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RUU larangan tembakau, rokok: Syed Saddiq bangkitkan 3 kebimbangan
Diterbitkan:  Jul 14, 2022 11:58 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Larangan Tembakau dan Rokok hanya jika dia berpuas hati dengan penjelasan berkenaan RUU itu di Parlimen nanti.

Menurut laporan portal kesihatan CodeBlue, Syed Saddiq berkata dia ada tiga kebimbangan berkenaan RUU itu, yang akan melarang penjualan rokok dan produk tembakau kepada golongan yang dilahirkan selepas 2005.

Pertama, katanya, peniaga dan peruncit kecil akan terkesan dengan larangan itu.

Dia berkata, peniaga kecil seperti pemilik kedai runcit memberitahunya bahawa penjualan rokok merangkumi 25 peratus daripada keuntungan mereka.

"Larangan menyeluruh akan menyebabkan pengurangan besar pendapatan peruncit seperti ini, ditambah lagi dengan kos sara hidup yang sedia tinggi dan terus meningkat dan pelaksanaan gaji minimum.

"Kita perlu mengambil kira setiap sen yang diraih peniaga kecil sangat penting untuk mereka dan kita tidak sepatutnya menyukarkan lagi kehidupan mereka yang sedia sukar," katanya.

Syed Saddiq juga membangkitkan yang RUU tersebut secara tidak langsung akan menggalakkan lebih banyak larangan berdasarkan aspek moral dan agama.

RUU yang dibawa Khairy itu bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung sistem kesihatan awam memandangkan kos untuk merawat penyakit berkaitan amalan merokok kauh melebihi hasil yang diperolehi kerajaan daripada produk tembakau.

Rokok seludup

Kata Syed Saddiq lagi, jika RUU itu diluluskan, ia akan mewujudkan "duluan tidak perlu" yang boleh membuka pintu kepada percubaan berunsur kaum untuk mengharamkan produk lain.

Dia berkata ia tidak sama dengan langkah pentadbiran PH yang melarang merokok di kedai makan sebelum ini, yang secara khusus untuk menangani bahaya asap rokok kepada orang lain.

"Namun larangan generasi ini akan menghadkan dan menghalang indivdu daripada mengguna produk tembakau secara aktif.

"Mungkin ada yang akan kata ha untuk merokok boleh dianggap sebagai hak kebebasan," katanya lagi.

Kebimbangan ketiga Syed Saddiq adalah RUU itu boleh memburukkan lagi isu rokok seludup.

"Larangan akan membuatkan pasaran gelap semakin berkembang.

"Sekali lagi, saya faham perspektif kesihatan awam, tetapi kita tidak ingin berada dalam situasi di mana kita buat satu langkah ke hadapan, tetapi kemudian terpaksa berundur dua langkah ke belakang, atau dalam kes ini, lebih dari dua langkah ke belakang," katanya.

Selain Syed Saddiq, Bersatu juga membangkitkan persoalan terhadap RUU ini yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat minggu depan.

Lihat Komen
ADS