Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Meleraikan kerisauan Syed Saddiq pada 'Generasi Penamat'

ULASAN | Baru-baru ini Presiden Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengutarakan tiga kerisauan berkenaan cadangan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, untuk mewujudkan generasi penamat tabiat merokok.

Saya hargai Syed Saddiq mengutarakan kerisauan berbanding membantah mentah-mentah cadangan menteri terbabit. Maka saya berhasrat untuk meleraikan kerisauan-kerisauan ahli parlimen Muar itu supaya dia boleh menyatakan sokongan 100 peratus terhadap cadangan mewujudkan generasi penamat itu tanpa sebarang keraguan.

Apakah itu generasi penamat?

Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha dalam kawalan tembakau sejak lebih 10 tahun lalu. Namun, penurunan prevalen penggunaan produk tembakau amatlah sedikit, iaitu hanya dari 23 peratus kepada 21 peratus sejak 1986.

Produk-produk tembakau sudah terbukti mengancam kesihatan masyarakat, bahkan di Malaysia saja, rokok membunuh sekitar 20,000 penggunanya setiap tahun!

Maka langkah yang lebih baik diperlukan untuk menamatkan tabiat penggunaan produk tembakau dalam kalangan rakyat Malaysia.

Punca utama kesukaran untuk mengurangkan tabiat merokok ialah kuatnya ketagihan terhadap nikotin, bahan kimia yang wujud dalam setiap produk tembakau.

Kajian pada 1994 menunjukkan penggunaan nikotin akan menyebabkan kebergantungan terhadap bahan itu lebih teruk daripada heroin dan kokain. Atas sebab itu, langkah terbaik untuk menamatkan tabiat merokok ialah mencegah generasi baru daripada memulakan tabiat merokok.

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangan untuk mewujudkan generasi penamat bagi tabiat merokok. Kita ingin halang generasi yang lahir pada 2005 memulakan tabiat merokok lalu mendedahkan diri kepada ketagihan terhadap nikotin dengan mengharamkan terus akses mereka terhadap rokok.

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Maka ayuh kita perhalusi kerisauan Syed Saddiq.

1: Impak kepada peniaga kecil

Generasi penamat tabiat merokok ini hanya akan mengharamkan rokok kepada generasi baru dalam kalangan mereka yang lahir pada 2005 dan seterusnya saja. Ia bukanlah pengharaman rokok secara menyeluruh dan mendadak.

Tahun hadapan misalnya, peniaga masih boleh menjual rokok seperti biasa kepada semua yang lahir sebelum 2005. Bezanya cuma mereka tidak boleh menjual pada pengguna yang baru mencecah umur 18 tahun - umur yang sebelum ini membolehkan mereka membeli rokok.

Maka, sekalipun terdapat impak kepada peniaga kecil, ia bersifat minimal dan berperingkat - justeru memberi masa untuk mereka beradaptasi dengan merancang model perniagaan baru sesuai dengan rancangan generasi penamat tabiat merokok.

Kerisauan serupa dibangkitkan oleh persatuan pemilik kedai makan ketika awal pengumuman perlaksanaan larangan merokok di premis makanan pada 2018.

Akhirnya selepas implimentasi, kedai-kedai makan boleh sahaja beradaptasi dengan larangan berkenaan. Bahkan kita dapat melihat semakin ramai pelanggan yang hadir membawa ahli keluarga bersama anak-anak ke restoran.

Gambar hiasan

Kita harus percaya kepada kemampuan dan kebijaksanaan para usahawan untuk beradaptasi. Takkanlah model perniagaan mereka harus bergantung kepada kewujudan penagih-penagih produk tembakau yang baru sampai bila-bila?

Bak kata pepatah, perjalanan 1,000 batu bermula dengan langkah pertama.

Inilah langkahnya - secara perlahan-lahan dan berperingkat - demi masa depan yang bebas produk tembakau.

2: Kebebasan individu - cerun licin kepada pengharaman lain seperti alkohol

Produk tembakau seperti rokok bukan saja boleh menyebabkan bahaya kepada penggunanya sahaja, malah merisikokan orang di sekeliling.

Sebuah kajian dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia pada 2019 menunjukkan dua daripada lima pelajar terdedah kepada asap rokok pasif - terdedah kepada asap rokok walaupun mereka tidak merokok secara aktif.

Kesan rokok pasif ini tidak boleh ditolak tepi. Di AS, dianggarkan sekitar 34,000 kematian daripada masalah jantung terkait asap rokok pasif berlaku setiap tahun.

Apabila terdedah kepada asap rokok pasif di rumah atau tempat kerja, risiko penyakit jantung meningkat sebanyak 25-30 peratus, manakala risiko strok meningkat sebanyak 20-30 peratus.

Masalah menjadi lebih rumit apabila asap rokok pasif ini bukan saja membahayakan apabila ada rokok yang sedang menyala dalam ruang tersebut. Perokok yang merokok semalam boleh membahayakan orang lain hari ini.

Gambar hiasan

Kajian menunjukkan bahan-bahan toksik pada asap rokok boleh meninggalkan kesan pada permukaan serta menyerap masuk ke fabrik. Hal ini terutamanya membahayakan bayi dan kanak-kanak yang merangkak atau bermain di atas lantai.

Kajian menunjukkan pendedahan kepada bahan toksik sebegitu boleh menyebabkan kanser, merosakkan hati, asma, dan pelbagai lagi penyakit lain.

Kebebasan individu itu masih ada garisan sempadannya dan terhenti apabila perbuatan merokok itu boleh membahayakan orang lain yang tidak memilih untuk merokok.

Kita sudahpun ada banyak undang-undang yang mengawal kebebasan individu untuk mengelakkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

Contoh mudah, peraturan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar. Kalau ingin contoh yang lebih dekat, kita juga mengharamkan morfin, kokain, syabu, dan heroin.

Kita tidak pernah merasakan undang-undang itu melanggar kebebasan individu, sebaliknya kita faham undang-undang berkenaan ialah untuk melindungi kita daripada bahaya.

Inilah juga peranan kerajaan dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan setiap individu dipelihara.

3: Rokok seludup

Ini adalah hujah sekian lama yang digunakan, melihatkan kepada kegagalan pengharaman menyeluruh alkohol di AS pada 1920 yang hanya bertahan selama 13 tahun, sebahagiannya kerana digagalkan pasaran gelap.

Namun, kita juga belajar daripada sejarah tersebut dengan melakukan generasi penamat. Kita masih membenarkan orang yang sudah lama ketagih membeli produk tembakau seperti biasa.

Kita cuma menghalang pengguna baru dalam generasi baru untuk mula ketagih produk tembakau. Jika sudah ketagih, sekalipun produk tembakau itu diharamkan, mereka akan mencarinya di pasaran gelap.

Kita cegah sebelum parah.

Jangan samakan pengharaman mendadak dengan generasi penamat. Sepatutnya apabila kurang wujudnya perokok baru, maka berkuranglah sasaran dan aktiviti pasaran gelap. Mereka hanya boleh menyasarkan perokok sedia ada saja.

Apapun, mahu tidak mahu, kita kena banteras aktiviti penyeludupan dengan lebih serius. Ia bukan alasan untuk kita tidak mewujudkan generasi penamat tabiat merokok - sama seperti ia bukan alasan untuk tidak mengharamkan morfin, kokain, syabu, heroin, dan sebagainya.

Bahkan, kita patut ajukan soalan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia: apakah yang telah berlaku selama ini sehingga Malaysia menjadi pasaran terbesar rokok seludup di dunia?

Adakah wujud masalah integriti dalam kalangan penguatkuasaan?

Mesej bercampur-campur

Pun begitu, baru-baru ini kita saksikan siri penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap rokok seludup sehingga berjaya membuat rampasan bernilai jutaan ringgit.

Sekiranya prestasi ini diteruskan dan dipertingkatkan, tentu kerisauan berkenaan rokok seludup dapat dikurangkan.

Bahkan, sekalipun mereka membeli rokok seludup, jika mereka menggunakannya secara tersorok-sorok di tempat tertutup akibat pengharaman, itu sahaja pun sudah mengurangkan risiko asap rokok pasif kepada orang lain.

Mungkin ada yang akan bertanya: bagaimana pula dengan pelajar yang sudahpun ketagih terhadap nikotin? Mereka ini sudah pun mendapatkan produk tembakau daripada sumber yang tidak sepatutnya atau pasaran gelap.

Setidak-tidaknya, kerajaan menunjukkan mesej yang jelas, iaitu produk tembakau membawa bahaya yang cukup serius sehingga melayakkan produk-produk itu diharamkan.

Apabila kerajaan memberitahu rakyat bahawa produk tembakau membahayakan kesihatan, tetapi pada masa yang sama membenarkan penjualan rokok secara sah serta menikmati pendapatan yang besar hasil daripada cukai rokok, ia memberikan mesej yang bercampur-campur kepada masyarakat.

Apabila angka korban akibat Covid-19 mencecah 123, kita mewajibkan pemakaian pelitup muka. Apabila ia mencecah 555, kita diisytiharkan darurat.

Sedangkan angka kematian akibat rokok ialah 20,000 setiap tahun!

Adakah kita hendak terus beralasan, atau kita mahu bertindak sekarang? Bak kata mantan Menteri Kesihatan Australia, Nicola Roxon: “Kita sedang membunuh dengan tidak bertindak.”


AZHARI AZIZI ialah anggota Jawatankuasa SmokeFree, Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (IKRAM Health) yang juga pelajar sarjana Amalan Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS