Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Otai Reformis: Kaji semula kontrak LRA Sungai Rasau pada Gamuda
Diterbitkan:  Jul 20, 2022 4:25 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

NGO Otai Refomis menggesa kontrak membabitkan Loji Rawatan Air Sungai Rasau bernilai hampir RM2 bilion yang dianugerahkan kepada Gamuda Berhad dikaji semula.

Setiausahanya, Razak Ismail mendakwa penganugerahan kontrak itu dibuat secara tergesa-gesa dan melibatkan satu amaun yang sangat besar.

"Antara lain Otai berpandangan bahawa tata cara penganugerahan kontrak itu tidak dilihat telus kerana tidak melibatkan ‘tender terbuka’," dakwanya dalam satu kenyataan.

Razak berkata Air Selangor merupakan anak syarikat milik penuh kerajaan Negeri Selangor dan justeru pemberian kontrak besar itu sewajarnya mendapat mandat dan diluluskan dalam Sidang Dewan Negeri.

Dia mendakwa, selain itu turut berlaku konflik kepentingan apabila kerajaan Selangor pada Ogos 2018 membayar RM2.55 bilion untuk pengambilalihan Loji Rawatan Air ‘SPLASH’ di Bestari Jaya yang juga milik Gamuda.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kenaikan harga barangan keperluan ketika ini, maka Kerajaan Selangor dilihat ‘berbelanja besar’ umpama ‘shopping sakan hujung tahun’ bagi menghabiskan peruntukan tahunannya.

"Ia kelihatan kerajaan negeri cuba menghabiskan ‘dana perbendaharaan negeri’ sebelum PRU15 yang dijangka diadakan sebelum hujung tahun ini," kata Razak.

Awal bulan ini pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dilapor menganugerahkan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) bernilai RM1.97 bilion kepada Gamuda Bhd.

Menurut kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu, ia telah menerima surat setuju terima bagi projek yang dicadangkan, sekali gus menjadikannya sebagai kontraktor utama untuk membina loji rawatan air dengan kapasiti 700 juta liter sehari (MLD) berhampiran Tanjung Dua Belas serta struktur takungan berkapasiti 1,400 MLD untuk mengeluarkan air mentah tambahan dari bekas kolam perlombongan di Taman Putra Permai, Puchong.

Gamuda berkata projek tersebut yang turut melibatkan pembinaan dua jejantas melintasi Lebuhraya Elite dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan bermula pada 15 Julai dan dijangka selesai menjelang 30 Jun, 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS