Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti Pahang, Johor: Undang-undang sedia ada memadai bendung hina agama

Beberapa mufti berbeza pandangan berhubung cadangan memperketatkan dan menyemak semula undang-undang sedia ada bagi membendung individu atau pihak tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman berpendapat, ini kerana undang-undang sedia ada sudah cukup untuk pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas kepada mereka yang terlibat.

"Sebenarnya undang-undang (membendung perbuatan itu) sudah banyak. Saya ingat undang-undang sedia ada sudah cukup," katanya kepada Malaysiakini.

Abdul Rahman berkata demikian mengulas cadangan Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd baru-baru ini agar undang-undang sedia ada disemak dan diperketat supaya dapat membendung individu atau pihak tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Dr Wan Salim membuat saranan itu susulan video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki didakwa menghina Allah dan Nabi Muhammad dengan pelbagai kata-kata kesat.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata apa yang paling penting ketika ini adalah langkah penguatkuasaan yang lebih tegas daripada pihak berkuasa di kesemua 14 negeri terhadap individu yang menghina peribadi Nabi Muhammad dan agama Islam.

"Apa yang penting sekarang adalah penguatkuasaan. Maknanya, (pihak berkuasa) kena lebih tegas dan apabila (kesalahan) dibaca oleh satu-satu negeri di seluruh Malaysia beerti ia berlaku di semua negeri.

"Bermakna semua negeri boleh mengambil tindakan yang sama untuk penguatkuasaan," tegasnya.

Pandangan yang sama dikemukakan Mufti Johor, Yahya Ahmad yang berpendapat penguatkuasaan yang tegas dapat menimbulkan kegentaran awam dan mengekang perbuatan tersebut.berulang.

"Saya sependapat dengan mufti Pahang bahawa undang-undang yang ada ini memang sepatutnya dikuatkuasakan dengan lebih berkesan lagi dan melibatkan semua pihak," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam masa yang sama Yahya berpandangan tindakan undang-undang kepada mereka yang terlibat harus menjadi langkah terakhir selepas pendekatan cara berhemah diambil.

"Isu (hina agama) ini perlu dilihat kes demi kes. Maksudnya dengan melihat suasana yang berlaku itu adakah kerana masalah mental? Jika ia melibatkan masalah mental maka ia perlu ditangani dengan cara rawatan psikiatri.

"Atau pun mungkin melibatkan masalah kekeluargaan, perpecahan dalam keluarga, masalah ekonomi akibat hilang pekerjaan, mengalami bebanan hutang dan sebagainya dengan berbagai masalah yang timbul ketika ini.

"Perkara itu perlu diambil perhatian sebelum tindakan undang-undang dikenakan kepada mereka yang berkenaan," katanya.

Tegas Yahya jika ia jelas bertujuan mencetuskan provokasi seperti cubaan memecah belahkan umat Islam dan menghina agama maka tindakan sewajarnya perlu diambil.

Pun begitu katanya, pendekatan memberi kefahaman dan pendidikan juga perlu dilaksanakan bagi menunjukkan keindahan agama Islam itu sendiri.

Pada 13 Julai lalu, seorang wanita yang videonya tular kerana menghina Islam dalam satu acara komedi didakwa di mahkamah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, manakala teman lelakinya dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Pada 18 Julai, seorang lelaki berusia 39 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan ditahan bersabit video yang memaparkan tindakannya menghina umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW.

Semalam seorang lagi lelaki berusia 35 tahun ditahan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Kelantan kira-kira jam 11.30 pagi selepas mengaku memuat naik video yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.

Hari ini, seorang lagi lelaki berusia 59 tahun yang juga penganggur direman selama empat hari kerana disyaki menghina agama Islam melalui satu rakaman audio yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS