Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbicaraan Syed Saddiq: Orang ramai boleh beri komen munasabah

Pihak pendakwaan perbicaraan kes penyelewengan bekas ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini gagal dalam usaha mereka untuk memanggil pengarang beberapa media dan pegawai komunikasi ahli parlimen Muar Farhan Iqbal ke mahkamah.

Timbalan pendakwa raya Wan Shahruddin Wan Ladin mendakwa suatu rakaman audio telah dibocorkan kepada saluran berita Astro Awani dan Sinar Harian.

Dia juga mendakwa Farhan melanggar peraturan sub judis yang menghalang seseorang daripada mengulas dan mendedahkan prosiding kehakiman.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan akhbar bebas untuk melaporkan prosiding mahkamah dan orang ramai bebas untuk mengulas secara munasabah mengenainya.

“Bagi media, mereka bebas melaporkan apa yang berlaku di mahkamah, ini adalah mahkamah terbuka.

“Setakat ulasan yang terbuka kepada awam, kita tidak boleh menghalang orang ramai daripada membuat apa-apa komen. Ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid.

Terdahulu, Wan Shahruddin meminta pengarang Astro Awani dan Sinar Harian untuk hadir ke mahkamah esok bagi mendedahkan sumber rakaman yang didakwa bocor itu.

Dia juga memanggil Farhan, yang hadir di ruang mahkamah, ke tempat duduk saksi untuk menjelaskan sebab di sebalik hantarannya di Twitter itu.

"Pemilik akaun Twitter pasti (telah melakukan) sub judis, dia memainkan peranan pendakwaan, peranan pembelaan, dan bertindak sebagai hakim," dakwanya.

Bercakap mengenai isu sub judis, peguam bela Ambiga Sreenevasan (gambar, bawah) pula menegaskan bahawa peraturan itu hanya relevan dalam perbicaraan juri, yang telah dimansuhkan.

Katanya, walaupun orang ramai dibenarkan bebas untuk bersuara namun pihak pendakwaan membuat laporan setiap kali sesuatu yang mengganggu mereka.

“Ia satu intimidasi, dan ia perlu dihentikan. Apa saja yang perlu diselesaikan, boleh diselesaikan di mahkamah.

“...Tetapi kebimbangan saya ialah, anda kini mengatakan orang ramai tidak boleh bercakap. Bilakah itu menjadi undang-undang?

“Terakhir saya periksa, kita masih demokrasi, kita masih percaya kepada kebebasan akhbar (dan) kebebasan bersuara.

“Jadi mengugut lelaki muda ini yang telah membuat komen, mendesak mahkamah memanggilnya (memberi keterangan), ke mana ini membawa kita," soalnya.

Hak orang ramai bagi komen

Dia mengingatkan pihak pendakwaan bahawa prosiding mahkamah adalah soal kepentingan awam.

“Ini dakwaan yang anda lancarkan, dan ia soal kepentingan awam. Jika ada komen yang munasabah dibuat, anda hanya perlu menerima itu sebagai hak untuk orang ramai memberi komen,” tambahnya.

Awal hari ini, seorang pegawai SPRM memfailkan laporan polis terhadap Astro Awani, Sinar Harian, dan pengguna Twitter Farhan Iqbal (@lamkanahraf) kerana didakwa mencemarkan nama baik SPRM.

Dalam laporan itu, yang dilihat oleh Malaysiakini, Mohd Ihsan Sapuan menggesa siasatan polis dijalankan mengenai bagaimana transkrip rakaman audio itu boleh jatuh ke tangan pihak berkenaan sedangkan ia belum dikemukakan di mahkamah.

Ihsan juga merupakan individu yang didakwa terlibat dalam rakaman perbualan selama sejam yang didakwa berlaku di rumah Syed Saddiq di Petaling Jaya, Selangor pada 12 Julai tahun lalu.

Sebahagian daripada transkrip itu dibacakan oleh peguam bela utama Gobind Singh Deo semalam, yang mendakwa Ihsan berkata Syed Saddiq tidak mematuhi permintaan tertentu daripada orang yang tidak dinyatakan dari atas.

Terhadap perkara ini, tertuduh didakwa berkata dia bukan ‘pencacai politik’ dan enggan menandatangani mana-mana Akuan Berkanun (SD) untuk menyokong perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS