Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tasik Chini tak lagi penuhi kriteria rizab biosfera Unesco

Status rizab biosfera Tasik Chini daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) kini dalam penelitian dan penemuan awalnya tidaklah menggalakkan.

Tasik itu adalah yang pertama daripada hanya tiga tapak biosfera Malaysia yang diiktiraf oleh Unesco sebagai sebahagian daripada program manusia dan biosfera (MAB) yang mengkaji dan menambah baik hubungan di antara manusia dan alam sekitar melalui pemuliharaan serta penggunaan sumber asli secara mampan.

Menurut tinjauan berkala pertama Unesco mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Laporan itu menyebut "kawasan hutan yang baru dibersihkan dengan penukaran tanah yang intensif" berlaku, selain mengesan pembukaan semula lombong lama di lokasi sekitarnya.

"Setahun selepas rizab biosfera ditetapkan, beberapa bekas tapak perlombongan yang terletak di titik kecerunan tinggi (Bukit Ketaya dan Bukit Chini) dibuka semula dan berkembang mengakibatkan kesan buruk alam sekitar seperti pemendapan, kemerosotan kualiti air dan kemerosotan tebing sungai.

"Satu lagi punca utama kerosakan alam sekitar ialah penukaran guna tanah daripada ladang getah dan kawasan hutan kepada ladang kelapa sawit. Sebahagian daripada pengembangan ini berlaku dalam kawasan teras utama," katanya.

Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa Unesco MAB pada Sept tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.

Sesuatu kawasan yang dianggap rizab biosfera di bawah program tersebut tertakluk kepada semakan berkala setiap 10 tahun.

Menurut laporan mesyuarat majlis itu, aktiviti pengembangan pesat di Tasik Chini memberi kesan buruk bukan sahaja kepada biodiversiti serantau tetapi juga kepada ekonomi tempatan.

"Aktiviti sara hidup tradisional orang asli tempatan (suku Jakun) yang bergantung kepada sumber hutan terhalang, dan trend peningkatan pelancong yang melawat dan menangkap ikan di tasik semula jadi telah berubah akibat penebangan hutan," kata laporan itu lagi.

Tak jelas, tak konsisten

Selain gangguan kepada alam sekitar, mesyuarat MAB juga mengetengahkan beberapa isu dengan dokumentasi dalam semakan berkala Tasik Chini, termasuk ketiadaan peta pengezonan yang dikemas kini dan pelan pengurusan untuk rizab biosfera.

Laporan itu menyatakan bahawa agensi kerajaan telah menjalankan prosedur mitigasi, pemulihan dan penguatkuasaan untuk menangani masalah yang timbul daripada penebangan hutan di Tasik Chini, dengan kerajaan Pahang mengemas kini warta Taman Negeri Tasik Chini untuk mengecualikan kawasan yang telah diberikan akses untuk perlombongan.

Ia menyatakan peta warta baru yang dirancang yang disediakan dalam semakan itu, bagaimanapun, bukan dalam bahasa Inggeris. Juga tiada cadangan untuk menukar zon, walaupun langkah sedemikian sedang dirancang.

"Bagaimanapun, jadual di kawasan itu termasuk mengenai cadangan perubahan pada setiap zon tanpa penjelasan berkaitan yang telah menyebabkan kekeliruan. Bilangan populasi manusia dalam rizab biosfera juga tidak jelas dan tidak konsisten di seluruh laporan.

"Jawatankuasa penasihat menyedari ketiadaan pelan pengurusan untuk rizab biosfera serta kekurangan maklumat mengenai pengurus atau kakitangan yang bertanggungjawab untuk penyelarasan pengurusan rizab biosfera.

"Oleh itu, jawatankuasa penasihat membuat kesimpulan bahawa rizab biosfera tidak memenuhi kriteria Rangka Kerja Berkanun WNBR," katanya.

Laporan itu berkata pihak berkuasa Malaysia telah diminta mengemukakan pelan terperinci mengenai Rizab Biosfera Tasik Chini menjelang 30 Sept tahun ini.

Pelan itu mesti menyediakan badan dunia dengan pengezonan terkini rizab biosfera "mengekalkan tiga fungsi rizab biosfera", butiran pengurusan rizab biosfera, dan pengesahan pejabat atau pengurus yang menyelaraskan aktiviti rancangan pengurusan rizab biosfera.

Di sebalik penemuan itu, menurut pakar Program MAB Unesco berpendapat, status Tasik Chini sebagai rizab biosfera tidak berisiko dibatalkan pada ketika ini.

Dalam respons melalui e-mel kepada permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan penjelasan, mereka berkata ia adalah proses biasa dalam semakan berkala untuk meminta maklumat tambahan daripada pihak berkuasa.

“Rizab Biosfera Tasik Chini tidak menghadapi risiko sedemikian pada peringkat ini.

"Adalah proses biasa apabila laporan semakan berkala diperiksa, Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa mengenai BR (IACBR) membuat syor (diluluskan oleh MAB-Majlis Penyelarasan Antarabangsa) yang membolehkannya menyerahkan maklumat tambahan untuk memeriksanya dan membuat keputusan wajar," katanya.

Malaysiakini turut cuba mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli namun setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang respons diterima.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS