Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohd Amar: Rakyat Kelantan jauh lebih bahagia berbanding Selangor

Kedudukan Kelantan di tempat kelimat dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 membuktikan rakyat di negeri itu senang dan berpuas hati dengan kehidupan mereka, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah.

Menurutnya, markah MHI yang diperolehi Kelantan jauh meninggalkan kedudukan negeri lebih maju seperti Selangor.

"Kita (Kelantan) termasuk antara negeri yang bahagia. Bahagia ini bermaksud rakyat puas hati, rakyat senang walaupun adalah masalah. Maka sebab itu kita masuk dalam indeks bahagia.

"Kita dapat skor 7.0, beza sedikit dengan Terengganu 7.2 (di kedudukan keempat), berbanding dengan Selangor 5.0, (Kelantan) jauh berbeza.

"Itu negeri yang dikatakan orang cerdik, PH (Pakatan Harapan) perintah, hasil bumi banyak, negeri kaya, tapi rakyatnya tidak bahagia, kedudukan paling bawah lagi," katanya mengulas data MHI yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, baru-baru ini.

Naib presiden PAS itu berkata demikian pada sesi ceramah pascasidang DUN Kelantan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, malam tadi.

Ia turut menampilkan Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary; Adun Kijang, Dr Izani Husin dan Adun Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan MHI 2021 menunjukkan negara ini secara keseluruhan berada pada tahap Bahagia apabila mencatatkan skor 6.48.

Menurut laporan MHI yang julung kali dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Labuan merekodkan skor tertinggi, iaitu 9.29 atau ‘Sangat Bahagia’, manakala 11 negeri beserta Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan skor pada tahap 'Bahagia'.

Melaka serta Selangor pula berada pada tahap Sederhana Bahagia.

Mohd Amar yang juga Adun Panchor berkata, rakyat Kelantan dinasihatkan supaya berfikir dengan baik dan tidak mengikut perasaan ketika ada pihak yang mahu menukar pentadbiran negeri itu.

"Jadi kita pilih nak apa dalam hidup, kita sebagai pengundi sebagai rakyat apa yang kita nak?

"Kita kena fikir jangan turut perasan, siapa kita nak bagi (perintah) nak tukar kerajaan?" soalnya.

Lihat Komen
ADS