Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPJ arah tutup institut memandu gagal patuhi spesifikasi litar

Sebuah institut memandu (IM) di Daerah Melaka Tengah di Melaka diarah tutup lebih tiga minggu bermula awal bulan ini selepas didapati gagal mematuhi spesifikasi litar ditetapkan Jawatankuasa Pelesenan Institut Memandu (JKPIM).

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata antara ketidakpatuhan berkenaan ialah ukuran lebar laluan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan elemen untuk latihan tanjakan kereta automatik dipindahkan ke tempat lain, tidak mengikut permohonan pelan susun atur yang dibuat pada Februari lepas.

"Ketidakpatuhan berkenaan dikesan apabila JPJ Melaka melakukan pemeriksaan ke atas IM berkenaan meliputi pelbagai aspek termasuk pelan susun atur litar.

Jadi di peringkat negeri, kita mengesyorkan kepada JKPIM di peringkat ibu pejabat JPJ supaya IM tersebut ditangguh sementara untuk melakukan pembetulan di litar dan memohon semula kelulusan untuk beroperasi," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh penutupan IM berkenaan, tiada ujian atau latihan dibenarkan dijalankan di institut itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembetulan litar demi keselamatan pelajar.

Katanya IM berkenaan telah dibenarkan beroperasi semula pada akhir minggu lepas selepas kerja-kerja pengubahsuaian litar mengikut spesifikasi yang ditetapkan selesai dijalankan.

Dalam pada itu, Muhammad Firdaus berkata semua tujuh IM di Melaka diingatkan sentiasa mematuhi peraturan atau arahan ditetapkan JKPIM bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan termasuk penutupan IM.

Beliau berkata pemeriksaan secara berkala akan dilakukan ke atas semua IM berkenaan meliputi pelbagai aspek lain antaranya keadaan kenderaan yang digunakan untuk latihan dan ujian seperti dari segi usia, penyelenggaraan dan Sijil Kenderaan Institut Memandu (SKIM).

"Selain itu, kita juga akan memeriksa tenaga pengajar IM bagi memastikan mereka merupakan pemegang Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) yang sah untuk mengajar calon belajar memandu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS