Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pembela cadang 1 Muharam diisytihar hari peradaban Melayu

Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa kerajaan agar mengisytiharkan 1 Muharam sebagai hari peradaban Melayu.

Perkara itu disuarakan pengerusinya, Aminuddin Yahaya di Festival Hari Peradaban Melayu 2022 anjuran pertubuhan itu hari ini.

Aminuddin berkata, penganjuran acara itu adalah semata-mata untuk mengangkat kembali peradaban Melayu tanpa mengenepikan kaum lain.

"Program ini menepis sebarang persepsi yang mengatakan ia mengenepikan bangsa lain, mencemuh bangsa lain. Tidak, kita mahu satu hari nanti ia menjadi tarikan pelancong .

"Jadi, kita minta kerajaan mendengar suara orang Melayu yang merindui akan bahasa bangsa mereka, peradaban mereka.

"Dan (kami) memohon kerajaan membuat deklarasi setiap 1 Muharam sebagai hari peradaban bangsa Melayu," katanya kepada media selepas merasmikan program itu yang diadakan padang bola sepak akademi KLFA di Cheras, petang tadi.

Aminuddin Yahaya

Pada 22 Julai lalu, Aminuddin menafikan acara itu dianjurkan ekoran sambutan luar biasa yang diberi terhadap festival Bon Odori kira-kira dua minggu lalu.

Walaupun terdapat bantahan golongan agama, antaranya daripada PAS, Mufti Perlis Asri Zainul Abidin dan menteri agama Idris Ahmad, seramai puluhan ribu menghadiri acara itu yang diadakan di Shah Alam, Selangor.

Festival Hari Peradaban Melayu yang bermula sejak pagi dimeriahkan dengan pameran kebudayaan Melayu, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan dam haji serta permainan tradisional masyarakat Melayu.

Selain melihat pameran kebudayaan, orang ramai yang hadir juga turut dihiburkan dengan persembah pencak silat dengan mengambil semangat "Mat Kilau".

Malah beberapa pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tersebut turut hadir memeriahkan program yang buat julung kalinya diadakan itu, antara Amy Begik yang membawa watak pembunuh upahan dan Ali Karimi yang membawa watak Brahim.

Selain itu, turut hadir adalah pengarah filem ternama Yusof Haslam dan pelakon veteran A Galak.

Dalam pada itu, Aminuddin turut meminta kerajaan agar menyediakan satu bangunan khusus bagi menyimpan khazanah peradaban Melayu.

Ditanya jumlah yang hadir pada perhimpunan hari ini, Aminuddin berkata sukar untuk memberi angka yang tepat kerana pengunjung "keluar masuk" sepanjang program berlangsung.

"Tak boleh nak anggar (jumlah sebenar) sebab orang keluar masuk, lima ke 10,000 ke kita tak boleh anggar.

"Banyak orang kritik dan mengatakan program ini sudah tidak relevan dan orang Melayu tak lihat kebudayaan suatu yang penting, hari ini terbukti (tidak benar)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS