Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Penyokong 'generasi penamat': MP tak sokong RUU galakkan ketagihan

Bagi ahli parlimen yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022, mereka hanya mempunyai satu pilihan iaitu undi belah bagi yang dijalankan di Dewan Rakyat kelak.

Ia di saat kritikan dan penelitian terhadapnya, terutama bagaimana kerajaan mahu menguatkuasakannya.

RUU tersebut bertujuan melarang mereka yang lahir pada 2007 dan seterusnya daripada membeli dan menghisap produk rokok dan vape.

Bagi Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr M Murallitaharan, ahli parlimen yang tidak menyokong RUU tersebut akan perlu bertanggungjawab di atas penagihan tembakau dalam kalangan generasi akan datang.

"Dengan tidak mengundi RUU ini, anda adalah orang yang mempromosikan generasi kita seterusnya untuk menjadi penagih. Anda perlu menjawab untuk itu. Jika anda tidak mengundi RUU ini, kami akan mempertanggungjawabkannya kepada anda," katanya kepada pemberita di luar pintu Parlimen pagi ini.

NCSM adalah antara beberapa kumpulan yang menyerahkan memorandum menyokong RUU kawalan tembakau dan merokok yang dicadangkan kerajaan kepada ahli parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Memorandum tersebut diterima oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan pertama pada 27 Julai, dengan bacaan kedua berlangsung sehari selepas itu, iaitu pada 28 Julai.

Jika diluluskan, mereka yang lahir pada 2007 dan seterusnya tidak akan dibenarkan memiliki dan menghisap produk tembakau dan vape.

Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 memperuntukkan hukuman RM5,000 kepada individu yang lahir selepas 2007 daripada merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Penjual pula boleh dikenakan denda RM50,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun.

Ia juga memberi kuasa yang luas kepada polis untuk memasuki mana-mana premis dan menjalankan penggeledahan tanpa waran untuk menguatkuasakan larangan tersebut.

Tindakan itu mengundang kritikan sejumlah pihak yang mempersoalkan mengapa polis memerlukan kuasa begitu besar dan menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan penyalahgunaan kuasa dan penguatkuasaan melampau batas.

Mereka turut menyatakan kebimbangan bahawa golongan belia yang ditangkap kerana memiliki produk tembakau akan didakwa dengan kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, Khairy memberi jaminan bahawa pesalah akan didenda maksimum RM50 dan tidak akan dipenjarakan atau mempunyai rekod jenayah.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Syed Saddiq berkata RUU itu harus memberi tumpuan kepada pengedar dan pembekal dan bukannya menjenayahkan pemilikan bahan tembakau.

Menurut Syed Saddiq, RUU itu juga perlu diperhalusi lebih lanjut dan bukan diluluskan begitu sahaja.

“Cadangan saya supaya menteri menghantar semula RUU kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi dan dibentangkan semula dalam sidang akan datang.

"Jika kita tergesa-gesa meluluskannya di saat terdapat begitu banyak kelemahan yang boleh dieksploitasi untuk penyalahgunaan, saya fikir ia akan mendatangkan lebih banyak mudarat daripada manfaat kepada rakyat Malaysia," katanya.

Kebimbangan itu turut dinyatakan dalam satu lagi memorandum yang diserahkan kepada Syed Saddiq Yii.

Terdahulu, beberapa ahli parlimen mengkritik masa singkat yang diberikan kepada mereka untuk menilai RUU tersebut - yang hanya diberikan kepada mereka minggu lalu dan dijangka dibahaskan hari ini dan esok.

Terdapat juga kebimbangan ia akan memburukkan lagi gejala rokok seludup dengan penguatkuasaan yang tidak memadai untuk menanganinya.

Lihat Komen
ADS