Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU kawal rokok, tembakau takkan melarat ke arak, judi - KJ

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menafikan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan turut mengganggu kebebasan perkara lain seperti arak dan judi.

Menjawab kebimbangan disuarakan oleh Xavier Jayakumar Arulanandam (Bebas-Kuala Langat) ketika membahaskan RUU tersebut, Khairy menjelaskan rokok dan arak serta judi adalah dua perkara yang berbeza.

Katanya untuk rokok, tiada paras minimum yang selamat untuk penggunanya berbanding arak yang mempunyai tahap tertentu.

“Tadi Kuala Langat (Jayakumar) cakap, lepas ni ada slippery slope... lepas ni (larangan) arak pula, lepas ni gambling pula…

"Saya nak bagitahu, mengikut sains, there is no safe minimum threshold for smoking a cigarette, that’s why. There’s no safe minimum level of smoking a tobacco cigarette (tiada ambang minimum yang selamat untuk menghisap rokok, itulah sebabnya. Tiada tahap minimum yang selamat untuk menghisap rokok tembakau).

“Sebab tu rokok adalah lain daripada - contohnya - arak," katanya.

Menurut ahli parlimen Rembau itu lagi, mengikut Islam arak memang diharamkan. Pada masa sama katanya ada tahap yang boleh dianggap selamat jika seseorang itu memilih untuk meminum alkohol.

Justeru katanya kerajaan tidak berminat untuk mengambil langkah sama ke atas penggunaan arak.

Menurut Khairy melalui RUU berkenaan ia tidak akan memberi kesan kepada aspek lain.

"Kita sangat jelas mengenai fakta bahawa tiada ambang minimum yang selamat untuk menghisap rokok," katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.

New Zealand jadi contoh

Terdahulu, Jayakumar berkata negara akan melihat pendakwaan yang tidak adil kepada satu generasi sahaja sekirnaya RUU mengenai kawalan produk tembakau tersebut diluluskan.

"Hari ni you kata rokok, esok apa janji tak ada (kawalan) untuk arak? Bukan untuk judi?

“Ahli-ahli Dewan Rakyat kena faham, Malaysia ni 70 peratus (populasi) bumiputra-Islam, (jika) kita buat undang-undang ini sekarang, apa liberty saya sebagai seorang bukan bumiputra, tetapi sebagai orang Malaysia untuk masa depan akan datang?” soal Jayakumar.

Justeru bekas naib presiden PKR itu bersetuju RUU dihantar kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk diteliti terlebih dulu sebelum dibantang dan dibahaskan.

Xavier Jayakumar

Mengulas lanjut Khairy berkata RUU berkenaan turut menumpukan syarikat-syarikat gergasi yang menghasilkan tembakau, kerana menurutnya mereka meraih keuntungan daripada penagih nikotin.

Malah katanya syarikat terbabit meraih keuntungan berbilion-bilion dolar AS daripada individu yang ketagih sepanjang hayat.

Konsep perniagaan mereka, jelas Khairy, bukanlah untuk seseorang menghisap sebatang dua rokok sebaliknya untuk pengguna merokok sepanjang hayat.

“Sebab itulah susah sangat nak kita bawa kawalan yang ketat dan yang ampuh,” katanya mengenai akta tersebut yang tertakluk kepada golongan yang lahir selepas 2007.

Sambil memberi contoh New Zealand yang turut melakukan perkara sama dalam Tobacco Generation End Game terhadap mereka yang lahir selepas 2009, Khairy berkata Malaysia turut mampu menjayakan RUU itu.

“Kenapa tidak benda yang baik Malaysia tunjukkan yang kita boleh bawa penamatan kepada perkara yang sangat mudarat kepada kesihatan orang awam ini?” katanya.

Lihat Komen
ADS