Tidak dapat dinafikan bahawa Projek perkhidmatan konsesi kerajaan elektronik (e-khidmat) membantu kerajaan memperluaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, objektifnya tidak tercapai sepenuhnya, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri Satu.
Menurut laporan yang diterbitkan hari ini, objektif Projek e-Khidmat oleh syarikat perkhidmatan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak tercapai sepenuhnya kerana aspek pengurusan perkhidmatan tidak dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
"Kelewatan memuktamadkan perjanjian menyebabkan pembayaran caj perkhidmatan di luar perjanjian berjumlah RM73.43 juta dibuat melalui kelulusan pengecualian khas. Percanggahan prosedur menyebabkan kutipan bayaran berjumlah RM4.27 juta disimpan dalam bank perolehan syarikat perkhidmatan selama satu hingga 412 hari sebelum dipulangkan semula kepada pemohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” menurut laporan itu.

Selain itu, LKAN menemukan 10,726 transaksi permohonan tidak berjaya berjumlah RM19.74 juta mash disimpan dalam bank perolehan syarikat perkhidmatan.
"Pengurusan perjanjian yang lemah menyebabkan hasil berjumlah RM38.94 juta di JPJ dan RM252.01 juta di JIM lewat diremitkan ke akaun kerajaan mengakibatkan hasil tidak dapat diakaunkan mengikut tempoh,” menurut LKAN dan menyatakan penalti berjumlah RM1.56 juta mash belum dijelaskan oleh syarikat perkhidmatan kepada JPJ.
LKAN mendapati 7,586 transaksi pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) berjumlah RM0.69 juta telah dibuat mulai September 2021 hingga Mac 2022 melalui Identity Document (ID) kiosk yang tidak dinyah aktif walaupun perjanjian tidak membenarkan pembaharuan LKM di Sabah dan Sarawak.
"Polisi Privasi Berkenaan dengan Data Peribadi di portal syarikat perkhidmatan berisiko mendedahkan data peribadi pengguna kepada pihak ketiga kerana maklumat pengguna disimpan dalam pangkalan data syarikat perkhidmatan,” menurut laporan itu.
LKAN mengesyorkan JIM agar mempercepatkan proses memuktamadkan perjanjian tambahan bag mengelakkan pembayaran di luar perjanjian dari berulang dan sekiranya berulang, peraturan kewangan AP59 hendaklah dirujuk memandangkan peraturan kewangan pembayaran tidak dipatuhi.
"JPJ dan JIM perlu memastikan prosedur kutipan bayaran dan tatacara remitan kepada kerajaan adalah jelas dan teratur supaya hasil kerajaan dapat diurus dengan baik dan cekap. Remitan hendaklah mengikut tempoh yang ditetapkan supaya hasil kerajaan diakaunkan dengan segera dan penalti hendaklah dikenakan kepada syarikat perkhidmatan dalam tempoh sepatutnya,” menurut LKAN.
LKAN berkata JPJ dan JIM juga perlu memastikan keselamatan data yang dimasukkan oleh pengguna di portal syarikat perkhidmatan bagi mengelakkan berlaku risiko penyalahgunaan dan pendedahan data peribadi pengguna.
- Bernama
