Suhakam memulakan siasatan ke atas kematian Kim Shih Keat ketika dalam tahanan pada 28 Jun, berdasarkan laporan yang diterima mengenai kejadian itu.
Suruhanjaya hak asasi manusia itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia telah merekodkan maklumat terperinci daripada keluarga Kim, serta melawat penjara Kluang pada 2 Ogos untuk merekodkan kenyataan daripada pegawai penjara dan bekas rakan selnya.
“Suhakam memandang serius isu kematian dalam tahanan dan sering mengadakan perbincangan dengan kesemua pihak berkepentingan untuk merangka prosedur operasi standard (SOP) dan juga penggubalan atau pindaan undang-undang yang perlu untuk mengatasi isu ini.
"Suhakam berpendirian bahawa kesemua kematian dalam tahanan seharusnya disiasat secara terbuka dan menyeluruh melalui prosiding inkues," kata suruhanjaya itu.
Pada masa yang sama, Suhakam juga menekankan kepentingan mempunyai unit kesihatan khusus untuk menyelia dan mengurus perkhidmatan kesihatan di kemudahan tahanan, untuk mengurangkan kejadian kematian dalam tahanan.
Secara berasingan, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata surat telah dihantar kepada koroner di Johor untuk mendapatkan maklumat sama ada sebarang permintaan untuk siasatan atau inkues di bawah Kanun Prosedur Jenayah telah dibuat pada bila-bila masa sejak kematian Kim.
“Saya masih belum menerima sebarang maklumat daripada koroner.
"Saya berpandangan bahawa siasatan mesti dilakukan berikutan keadaan yang mencurigakan mengenai kematian Kim," kata Ramkarpal, yang bertindak sebagai peguam bagi pihak keluarga Kim, semasa sidang media di parlimen hari ini.
Mengenai perkhidmatan kesihatan di kemudahan tahanan, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, ketika ini khidmat doktor hanya boleh didapati selepas 24 jam.
Terdahulu, beberapa ahli keluarga Kim menyerahkan memorandum kepada Ramkarpal, antara lain menyatakan mereka masih belum dimaklumkan mengenai punca kematiannya seperti yang ditentukan oleh bedah siasat.
Turut hadir ialah pengarah eksekutif kumpulan hak asasi Suaram, Sevan Doraisamy dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang lain.
Pada 28 Jun, Kim didakwa dikejarkan ke hospital beberapa jam sebelum dibebaskan dari penjara Kluang pada akhir hukuman tujuh hari kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Dia sepatutnya dikeluarkan pada 28 Jun, namun dilapor meninggal dunia pada 9.33 pagi hari sama di Hospital Enche' Besar Halijah Khalsom di Kluang.
Ini adalah kira-kira dua jam selepas dia ditemui tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital oleh pihak berkuasa penjara.
Kim, 36, meninggalkan isteri dan dua anak perempuannya, berusia empat dan enam tahun.
