Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal LCS: SPRM nak buat apa, soal Kit Siang
Diterbitkan:  Aug 5, 2022 4:12 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Tokoh pembangkang  Lim Kit Siang menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rancangannya dalam siasatan berkaitan kepincangan dalam kontrak perolehan kapal tempur pesisir (LCS) untuk tentera laut.

Katanya, amat mengejutkan apabila laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bukan hanya RM1 billion yang “hilang”, tetapi RM1.4 billion.

“Kini tanggungjawabnya terletak kepada SPRM untuk menyiasat setiap aspek perbelanjaan dan memberitahu rakyat sama ada wang ini telah disedut keluar dan siapa yang telah menerima manfaat darinya. 

“Boleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, memberitahu rakyat Malaysia, apa yang sedang dilakukan SPRM mengenai laporan PAC ini dan juga menjelaskan mengapa badan tersebut tidak bertindak awal lagi?” soalnya.

Lim Kit Siang

Laporan PAC kepada Dewan Rakyat semalam menyebut menteri pertahanan sebelum ini Ahmad Zahid Hamidi menyebelahi kontraktor dan mengabaikan kehendak tentera laut dalam pemilihan jenis rekaan kapal LCS.

Kapal pertama daripada enam buah itu patut tiba pada 2019. 

Sehingga kini tiada satu pun yang siap walaupun sebanyak 66 peratus peruntukan daripada dana projek sudah dikeluarkan.

Sementara itu, Lim juga menuntut penjelasan Zahid berhubung tindakannya itu.

Zahid di Mindef pada 2012, gambar hiasan

“Apakah perkara yang telah mendorong Zahid untuk mengabaikan surat bantahan yang dihantarkan oleh Dr Abdul Aziz Jaafar yang telah menjejaskan kepentingan pihak tentera laut dan negara?” soalnya.

Putrajaya membuat perjanjian itu pada 2011.

Pada masa itu, Zahid berkhidmat sebagai menteri pertahanan, manakala Najib Razak menjadi perdana menteri dan menteri kewangan.

Apabila Zahid dipanggil untuk memberi keterangan kepada PAC, dia menafikan bertanggungjawab terhadap pertukaran reka bentuk dan menuding jari kepada Naval Group–pemilik reka bentuk kelas Gowind–dan penerima kontrak Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

"Tidak ada campur tangan daripada menteri dalam penentuan reka bentuk. 

“Ini kerana penentuan reka bentuk tersebut adalah semata-mata bergantung dan terletak dalam bidang kuasa kontraktor yang terlibat,” katanya.

Kaji semula terma perjanjian - Pejuang

Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air menuntut siasatan tanpa pilih kasih dan mendesak agar terma-terma perjanjian dikaji semula hingga ia dapat dipatuhi berdasarkan prinsip akauntabiliti. 

Marzuki Yahya

Timbalan presidennya Marzuki Yahya mengingatkan bahawa jumlah wang yang terlibat bukan kecil dan boleh memberi kesan jangka panjang kepada kerajaan.

“Masalah ini juga memberi petunjuk bahawa keseluruhan pentadbiran kerajaan BN-PN ini sangat lemah dan gagal menjalankan amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab. 

“Rakyat berhak mengetahui di mana silapnya dan siapa di belakang semua bencana ini,” katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS