Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tak puas hati kadar upah, penghantar makanan himpun depan pejabat Grab

Kira-kira 100 penghantar makanan Grab hari ini berhimpun di ibu pejabat syarikat itu selepas tidak puas hati dengan kadar pembayaran yang didakwa tidak adil kepada mereka.

Ia selepas mogok 24 jam penghantar makanan daripada beberapa syarikat, dinamakan “Food Delivery Blackout”, yang bermula tengah malam tadi sebagai bantahan kepada apa yang disifatkan mereka sebagai kadar bayaran tidak adil yang digunakan syarikat penghantar makanan.

Penghantar makanan pada mulanya berkumpul di 10 lokasi sekitar Lembah Klang pada jam empat petang tadi, sebelum bergerak bersama-sama menuju ibu pejabat Grab di Petaling Jaya, Selangor.

Mereka kemudian menyerahkan memorandum lima tuntutan kepada pihak syarikat.

"Sebentar tadi, kami serahkan satu memorandum kepada Grab bagi mendesak pihaknya menyelesaikan lima tuntutan kami dengan segera," kata salah seorang penghantar makanan, Mohd Firdaus Abdul Hamid.

Lima tuntutan tersebut adalah:

  • Menilai dan menambah semula kadar bayaran tambang mengikut jarak pengambilan (pick up) dan penghantaran (delivery)

  • Mengekalkan kadar bayaran tambang yang sama seperti kadar bayaran asas untuk pesanan berganda.

  • Mansuhkan semula bonus dan mengembalikan semula sistem point diamond.

  • Mansuhkan sistem berjadual

  • Hapuskan sistem tunai

Semalam, Grab menafikan dakwaan pihaknya memotong upah penghantar makanan.

Grab berkata pengurangan pendapatan yang dihadapi oleh "kumpulan kecil" penghantar makanan bulan lepas disebabkan masalah teknikal pada sistem yang telah diperbetulkan.

"Grab Malaysia ingin menjelaskan bahawa kami tidak mengurangkan kadar asas untuk perkhidmatan penghantaran kami," kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Malaysiakini semalam.

Bagaimanapun, penghantar makanan yang berkumpul hari ini tidak menerima penjelasan itu.

"Dia kata sistem masalah. Macam saya cakap bayaran asas sepatutnya RM5. Tapi, bila kita dapat 'double order', bayaran asas untuk pesanan kedua menjadi RM4.

"Di mana hilang seringgit itu, lagi banyak pesanan, lagi banyak dia potong," katanya

Seorang penghantar makanan yang hanya dikenali sebagai Riz pula membangkitkan upah penghantaran untuk jarak lebih jauh adalah sama dengan untuk jarak dekat.

Katanya, penghantar sememangnya diberikan bayaran tetap bagi setiap penghantaran, dan ia tiada masalah jika masa penghantaran kurang lima minit.

Namun, dia mendakwa Grab memberi bayaran sama untuk destinasi yang lebih jauh.

"Kami tiada masalah jika dibayar RM5 untuk penghantaran jarak dekat. Tetapi tak adil jika bayarannya sama untuk jarak jauh yang memakan masa sehingga 20 minit," katanya sambil berharap Grab akan mendengar suara mereka.

Mengulas kenyataan Grab berhubung masalah teknikal, seorang penghantar makanan yang hanya ingin dikenali sebagai Bill mendakwa ia tidak boleh diterima memandangkan telah berlaku lebih daripada sekali.

"Kita telah bercakap dengan pihak yang relevan tentang perkara ini banyak kali, tetapi tidak didengar.

"Jadi kenapa baru sekarang, selepas kita umumkan protes, baru mereka putuskan untuk respons dan berkata puncanya adalah masalah teknikal?" soalnya.

Dalam pada itu, Bill turut membangkitkan isu keselamatan apabila mereka perlu bekerja antara 12 hingga 15 jam untuk mencapai sasaran pendapatan harian, berbanding 10 jam sebelum ini.

"Saya bimbang ia akan membawa kepada peningkatan kemalangan akibat penghantar yang tiada pilihan lain untuk tetap bekerja walaupun kepenatan.

"Saya ingat pernah tertidur ketika menghantar makanan akibat kepenatan kerana bekerja seharian...Adakah kami terpaksa mengambil risiko nyawa hanya untuk mencari pendapatan?" katanya yang sekali lagi membangkitkan isu kadar bayaran yang rendah.

Lihat Komen
ADS