Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan NGO antitembakau gesa MP isytihar kaitan dengan industri
Diterbitkan:  Aug 5, 2022 7:10 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Gabungan NGO yang menyokong undang-undang antitembakau hari ini menggesa semua ahli parlimen untuk mengisytiharkan sebarang kaitan dengan industri tembakau.

Mereka juga menggesa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin supaya hanya memilih ahli parlimen yang bebas daripada pengaruh industri tembakau untuk berada dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang akan menyempurnakan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022.

Ini berlaku selepas rang undang-undang itu menerima kritikan ketika dibahaskan di parlimen awal minggu ini sebelum kerajaan memutuskan untuk menubuhkan PSC.

“Kami rakyat telah memerhatikan tindakan ahli parlimen tertentu yang sengaja membuat alasan untuk menolak rang undang-undang ini.

"Isu ini juga telah dipolitikkan oleh beberapa ahli parlimen yang tidak mengambil kira keselamatan dan kesihatan generasi masa depan kita," kata jurucakap gabungan itu, Dr M Murallitharan pada sidang media petang tadi.

Menurut kenyataan akhbar mereka, gabungan itu terdiri daripada kira-kira 235 NGO.

Murallitharan, yang juga pengarah urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, berkata salah satu isu yang dibangkitkan semasa perbahasan ialah jumlah kuasa yang diberikan kepada pihak berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

“Mengapa sehingga satu tahap isu kuasa dipersoalkan? Atau adakah ini skrip yang telah disediakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan dalam industri tembakau dan rokok elektronik?

“Oleh itu, kami ingin menyeru semua ahli parlimen untuk mengisytiharkan jika mereka mempunyai sebarang urusan dengan pihak berkepentingan dalam syarikat tembakau atau e-rokok.

“Kami juga menggesa agar ahli PSC baru, yang akan dipilih dalam kalangan ahli parlimen dari seluruh parti politik, mestilah hanya mereka yang bersih dan bebas daripada sebarang penglibatan dengan pemain industri yang meletakkan wang melebihi kesihatan awam,” katanya.

Rang undang-undang kawalan merokok itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin lalu dan dibahaskan selama dua hari oleh ahli parlimen.

Pengundian rang undang-undang itu dijangka pada Selasa tetapi Khairy membentangkan usul untuk menghantarnya kepada PSC yang baru ditubuhkan untuk diperhalusi terlebih dahulu.

Jawatankuasa itu akan ditugaskan untuk membuat syor berkaitan penguatkuasaan dan penalti di bawah rang undang-undang itu.

Mengenai tugas PSC, gabungan NGO berkenaan berkata mereka berharap ia hanya akan melibatkan pakar yang mempunyai kelayakan yang boleh dipercayai untuk mendapatkan nasihat.

“Pakar yang akan dipilih (untuk membantu PSC) mestilah bebas daripada sebarang kepentingan dan dipilih berdasarkan kepakaran mereka.

"Perlu ditegaskan di sini bahawa tidak ada pakar dalam vape atau pakar dalam rokok elektronik, yang hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan," katanya.

Mereka juga menggesa kerajaan supaya tidak membenarkan sebarang campur tangan oleh pemain industri tembakau, yang didakwa cuba melobi terhadap undang-undang sekatan itu.

Lihat Komen
ADS