Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tanah mendap' Bandar Prai Jaya: Bidang kuasa MBSP bukan kami - JKR

JKR menyerahkan masalah "tanah mendap" di Bandar Prai Jaya di Pulau Pinang kepada Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP) kerana jalan raya di perbandaran itu bukan bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya.

Jurucakap JKR melalui mesej WhatsApp kepada Malaysiakini berkata semua struktur bangunan di kawasan Megamall telah siap dan beroperasi sejak kira-kira 20 tahun lalu. Jelasnya, maka jalan raya di kawasan itu bawah seliaan MBSP, bukannya JKR.

Jurucakap itu berkata JKR hanya menyelia jalan persekutuan, jalan utama negeri, jalan industri, dan jalan yang menghubungkan antara premis kerajaan.

“Tapak mendapan di bahagian tepi bangunan berserta jalan perkhidmatan di kawasan itu mungkin berpunca daripada proses rawatan tanah yang tidak dijalankan dengan sempurna sebelum struktur bangunan di kawasan itu dibina.

“Bagaimanapun, pengadu perlu memohon bantuan JKR bagi menyemak tahap kestabilan tanah dan struktur di kawasan berkenaan dan perkara itu akan dirujuk kepada Unit Forensik JKR,” katanya lagi.

Jurucakap JKR itu seterusnya menambah plaza tol Prai di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), plaza tol Sungai Nyior di sepanjang Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), dan kompleks Rehat dan Rekreasi (R&R) di Bagan Ajam di BORR, yang terletak di sepanjang pantai di Butterworth, diselia oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (MHA).

Maklum balas JKR itu berikutan laporan Malaysiakini pada 29 Julai, yang memaparkan kawasan tanah mendap telah menjejaskan beberapa struktur di Seberang Perai Utara dan Seberang Prai Tengah.

Kompleks beli-belah Megamall di Bandar Prai Jaya terjejas teruk akibat tanah mendap, dengan jurang antara struktur dan tanah selebar 1 meter di beberapa tempat. Sistem perparitan di kawasan itu turut rosak.

Struktur lain yang terjejas terjejas termasuk plaza tol Prai di sepanjang BORR, plaza tol Sungai Nyior di Lebuhraya Butterworth-Kulim, dan kompleks R&R di Bagan Ajam di BORR, yang juga terletak di sepanjang pantai di Butterworth.

Cubaan mendapatkan maklum balas daripada pejabat wilayah utara Lembaga Lebuhraya Malaysia di Pulau Pinang tidak berjaya.

Projek Bandar Prai Jaya telah diusahakan oleh Penas Corporation Berhad, tetapi syarikat itu ditutup beberapa tahun selepas projek itu siap.

Masih tiada geran hak milik strata

Dalam perkembangan lain, Lembaga Lebuhraya Malaysia menutup laluan BORR antara persimpangan di Terminal Kontena Butterworth Utara dan plaza tol Bagan Ajam, yang turut ditutup selepas lubang besar ditemui oleh pemandu pada 2 Ogos.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang juga Adun Prai, berkata pihak berkuasa berkaitan mesti menangani isu berkenaan dan memastikan keselamatan pembeli yang mengunjungi pusat beli-belah tersebut, serta pengguna jalan raya yang menggunakan lebuh raya.

Ramasamy berkata keseluruhan projek itu dijalankan secara senyap-senyap pada akhir 1990an dan awal 2000an dengan bekas penduduk dari Kampung Teluk dan Prye Estate telah dipindahkan ke rumah pangsa yang baru dibina.

“Pemaju yang menggulung syarikat itu beberapa tahun selepas projek siap melakukan banyak kesilapan kerana pemilik unit komersil dan kediaman tidak mendapat geran hak milik strata mereka, dan saya sedang berbincang dengan MBSP untuk membantu penduduk B40 di rumah pangsa kos rendah di Blok B1 dan Blok B2 bagi mendapatkan hakmilik strata mereka.

“Ini mungkin kegagalan kerajaan negeri BN ketika itu yang gagal memastikan mana-mana projek pembangunan wajib mematuhi kehendak pihak berkuasa tempatan. Kerajaan negeri (semasa) telah meluluskan RM800,000 untuk penduduk B40 berkenaan mendapatkan geran hak milik strata mereka,” tambah Ramasamy.

Ramasamy, yang juga exco kerajaan Pulau Pinang berkata MBSP boleh meletakkan tanggungjawab kepada pemaju terhadap kecacatan struktur jika ia berlaku dalam tempoh dua tahun selepas projek itu siap, tetapi pemaju dalam kes ini telah menggulung syarikat itu beberapa tahun selepas ia siap.

Ramasamy (gambar, bawah) berkata terdapat masalah lain di rumah pangsa kos rendah yang dibina oleh pemaju untuk bekas penduduk Kampung Teluk dan pekerja Ladang Prye, dan oleh itu sukar untuk mengeluarkan hak milik strata kepada pemilik unit di flat Teluk Indah di Bandar Prai Jaya.

“Saya sedang berbincang dengan pegawai MBSP mengenai cara dan kaedah mengeluarkan hak milik strata memandangkan nilai pasaran hartanah di Bandar Prai Jaya akan meningkat.

"Penduduk di flat B1, B2, E1 dan E2 adalah daripada kumpulan B40, di mana mereka juga mempunyai tunggakan bayaran dengan MBSP, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang.

“TNB telah berkali-kali memutuskan bekalan elektrik ke rumah penduduk miskin dan saya telah menggunakan dana daripada peruntukan Adun saya untuk memulihkan bekalan tenaga kepada unit-unit rumah ini.

"Saya juga telah membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk menggantikan lif yang rosak di fkar ini,” tambah Ramasamy.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto (gambar, bawah) berkata kawasan tanah mendap itu mungkin kerana bangunan berkenaan dibina di atas tanah liat laut.

“Saya akan menulis surat kepada kerajaan negeri untuk segera mengambil tindakan jangka pendek dan panjang bagi menangani situasi serius ini.

"Ia membimbangkan dan saya berharap pihak berkuasa akan bertindak terhadap perkara ini sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Tanah yang mengelilingi beberapa struktur di daerah Seberang Prai Tengah dan Seberang Prai Utara Pulau Pinang didapati mendap, mendorong penduduk menggesa penilaian keselamatan dibuat.

Ahli Majlis MBSP David Marshel berkata pihak berkuasa tempatan telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Ramasamy bagi menyelesaikan perkara itu dan membantu penduduk B40 yang tinggal di rumah pangsa kos rendah itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS