Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Wanita mati lepas dihambur komen kebencian di Tik Tok'
Diterbitkan:  Aug 8, 2022 3:37 AM
Dikemaskini: Aug 9, 2022 9:05 AM

Nota editor: Laporan ini telah dikemas kini susulan kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang jaya. Nama dan gambar mangsa dipadam daripada artikel ini atas permintaan keluarga.


Seorang pemilik akaun TikTok popular meninggal dalam perjalanan ke hospital dari rumahnya di Subang Jaya, Selangor pagi semalam.

Ini selepas dia dilaporkan menerima komen kebencian bertubi-tubi di akaunnya yang diikuti ramai.

Polis berkata dia dipercayai cuba membunuh diri sebelum dikejarkan ke hospital sekitar jam 11.45 malam kelmarin (6 Ogos).

“Mangsa telah dibawa oleh keluarganya ke hospital dalam keadaan masih bernafas dan meninggal dalam perjalanan," maklum Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya pada satu kenyataan hari ini.

"Hasil siasatan awal dimaklumkan bahawa si mati pernah mengalami tekanan perasaan dan mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya.

"Pemeriksaan tempat kejadian dan fizikal si mati telah dibuat, tiada kesan berlakunya unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).

"Post mortem telah dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya," kata kenyataan itu lagi.

Polis berkata setakat ini tiada laporan yang dibuat oleh si mati atas dakwaan menjadi mangsa gangguan buli siber.

Terdahulu media melaporkan ibu kepada tiga anak itu "dibuli secara siber" berkaitan penampilan dan koleksi beg tangannya, di akaun media sosial.

Beberapa pengguna TikTok turut menyalahkannya kerana diganggu secara seksual, melalui komen pada video yang dia siarkan mengenai perkara itu.

Menurut seorang lagi pemilik akaun TikTok yang popular Rose Veronica, anak-anak wanita itu memberitahunya ibu mereka tidak boleh bertolak ansur dengan komen negatif di Tik Toknya, lapor Sinar Daily.

Wanita itu mempunyai lebih 30,000 pengikut di TikTok dan dia sering berkongsi pandangannya tentang pelbagai topik seperti persekolahan di rumah, gangguan seksual dan cara mengekalkan penjagaan beg tangan mewah.

Videonya diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Tamil.

Video terakhirnya tiga hari lalu mengenai dia memulakan persekolahan di rumah untuk tiga anak perempuannya menggunakan sukatan pelajaran Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE).

Ucapan takziah memenuhi ruangan komen pada video mangsa dengan ramai yang menasihati mereka yang tidak dapat menangani komen negatif supaya menjauhi media sosial.

"Hatiku remuk dengan berita itu. Kami fikir anda seorang yang sangat kuat dan berani.

"Damailah engkau di sana. Saya kehilangan kata-kata. Sangat sedih," kata seorang pengguna.

Sebab seseorang membunuh diri adalah rumit dan isu kesihatan mental tidak semestinya membawa kepada bunuh diri.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap bunuh diri sebagai isu kesihatan awam tetapi mengatakan ia boleh dicegah dengan campur tangan yang betul.

[Baca laporan asal]


Jika anda berasa tertekan atau ingin membunuh diri, atau mengenali seseorang dalam keadaan ini, sila hubungi talian hotline berikut:

Talian Kasih

Hotline: 15999

The Befrienders

Hotline: 03-76272929

Agape Counselling Centre Malaysia

Hotline: 03-77855955 or 03-77810800

Life Line Association Malaysia

Hotline: 03-42657995

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah menyediakan talian sokongan psiko-sosial untuk petugas barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.

Talian boleh dihubungi di 014-3223392, 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935, dari 8 pagi ke 5 petang.


Lihat Komen
ADS