Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menuduh bekas perdana menteri Najib Abdul Razak mempengaruhi keputusan pilihan reka bentuk oleh Putrajaya berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS).
Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi mendakwa memiliki dokumen tender yang dibocorkan kepadanya dan "surat niat" daripada firma pertahanan Perancis DCNS (kini dikenali sebagai Naval Group) mengenai projek LCS.
Bagaimanapun, dokumen ini, kata Rafizi, dikeluarkan sebelum Boustead Naval Shipyard Bhd (BNS) secara rasmi dijadikan kontraktor utama pada 16 Dis 2011.
"Ini bermakna DCNS (sebagai sub-kontraktor) telah menerima maklumat penuh sebelum ini mengenai projek itu. Malah, DCNS telah pun mengemukakan dokumen tender dan surat niat walaupun sebelum BNS dilantik sebagai kontraktor utama," kata Rafizi.
Rafizi tidak mendedahkan ketiga-tiga dokumen itu tetapi memberikan nombor rujukan dan tarikh.
Menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), BNS menyerahkan "surat niat" pada 16 Okt 2010 dan menerima "surat lantikan" pada 16 Dis 2011.
Berdasarkan tarikh yang diberikan oleh Rafizi, ketiga-tiga dokumen yang dikatakan bocor dalam simpanannya adalah bertarikh antara "surat niat" BNS dan "surat lantikan".
Menurut Rafizi, dia juga memiliki laporan oleh Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) - pemilik BNS - yang membuat kesimpulan bahawa sebut harga DCNS adalah "ditentukan terlebih dahulu" dan perkara itu adalah tidak wajar.
Rafizi yang memetik laporan itu berkata, penyiasat BHIC menyatakan bahawa DCNS mempunyai sejarah merasuah rakyat Malaysia dan perkara itu sedang disiasat pihak berkuasa Perancis.

Justeru dakwanya, Najib berkemungkinan mempunyai peranan dalam menentukan reka bentuk LCS kerana rekodnya dengan DCNS melalui perjanjian kapal selam Scorpene pada awal 2000-an.
"Pertama, dia (Najib) lebih berkuasa daripada menteri pertahanan pada ketika itu untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS, dipilih.
"Kedua, mempunyai rekod peribadi yang memilih DCNS (dan rakan sekutu DCNS iaitu Thales) untuk projek-projek besar negara. Selain projek kapal selam Scorpene dan kapal LCS, Thales juga mencetuskan kontroversi dalam tahun 2012 apabila terbabit dalam skandal anugerah projek LRT kepada George Kent.
"Saya menunggu bagaimana Najib Razak akan menjawab persoalan-persoalan ini," kata Rafizi.
Pada 4 Ogos, laporan PAC mengenai LCS menunjukkan bahawa Kementerian Pertahanan pada mulanya memilih reka bentuk Sigma untuk LCS pada Mei 2011 tetapi dua bulan kemudian ia memutuskan untuk menukar kepada reka bentuk Gowind, daripada pengeluar kapal selam Scorpene Perancis yang sama.

"Keputusan untuk menukar reka bentuk Gowind dibuat pada 11 Julai 2011, berikutan cadangan yang dibawa oleh BNS kepada menteri pertahanan (Ahmad Zahid Hamidi) pada 8 Julai 2011," katanya.
Zahid menerajui Kementerian Pertahanan antara 2009 dan 2013.

