Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu LCS: Adakah rakyat akan percaya mantra BN PRU nanti? - Muhyiddin
Diterbitkan:  Aug 9, 2022 7:47 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin adalah individu terbaru menjadikan skandal kapal tempur pesisir (LCS) sebagai modal untuk menyerang seteru politiknya yang juga pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

Menyebut mengenai penglibatan Zahid dalam skandal itu, Muhyiddin mempersoalkan sama ada pengundi boleh mempercayai BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Inilah pemimpin BN yang akan mengetuai parti itu dalam PRU-15. Jika inilah hakikatnya, adakah rakyat Malaysia akan mempercayai mantra yang akan dibawa oleh BN dalam PRU akan datang?" soal Muhyiddin dalam hantaran di media sosial.

Projek LCS ialah kontrak bernilai RM9 bilion bagi membeli enam kapal untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bermula pada 2011.

Bagaimanapun kapal-kapal berkenaan tidak pernah siap sehingga kini.

Antara isu yang diketengahkan oleh laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung skandal itu ialah Zahid selaku menteri pertahanan ketika itu menukar reka bentuk kapal LCS - tanpa mengendahkan pandangan TLDM.

Bekas panglima TLDM Abdul Aziz Jaafar sebelum ini didedahkan telah menulis 10 surat bantahan, termasuk lima kepada Zahid - yang merupakan menteri pertahanan dari 2009 hingga 2013.

"Bantahan ini walau bagaimanapun tidak diendahkan oleh menteri pertahanan. Untuk rekod menteri pertahanan pada ketika itu ialah presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional pada masa ini,” kata Muhyiddin.

Zahid baru-baru ini menafikan pembabitannya dalam skandal berkenaan dan mengatakan kontrak pembelian kapal LCS hanya diberikan selepas dia meninggalkan Kementerian Pertahanan.

Ini walaupun surat penganugerahan dikeluarkan pada 2011, yang telah akui oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Semalam Zahid yang juga presiden Umno mahu kerajaan memberikan penjelasan, tetapi pada masa sama melahirkan kebimbangan ia boleh menjejaskan keselamatan negara.

Sementara itu Muhyiddin menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung pembelian kapal berkenaan.

Dalam hantarannya, presiden Bersatu itu berkata PN akan terus memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah serta mentadbir negara dengan penuh integriti.

Baru-baru ini timbul spekulasi bahawa PN akan menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinan BN sekarang.

Ini berikutan dakwaan rasa kurang senang PN berhubung isu perjanjian dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob supaya gabungan itu diberikan jawatan timbalan namun tidak ditunaikan perdana menteri.

Kerajaan akan tumbang sekiranya PN menarik balik sokongan, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya umum melainkan Ismail mencari sokongan baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS