Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bos LTAT: Boustead terpaksa guna wang LCS bayar hutang lapuk
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 1:05 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) terpaksa menggunakan sebahagian daripada dana daripada perolehan kapal tempur pesisir (LCS) untuk membayar hutang lapuk projek lain.

Ini kerana Boustead Holdings Bhd - yang pemegang saham terbesarnya adalah LTAT - terpaksa pada satu ketika mengambil alih PSC Industries Bhd yang dibebani hutang, sebuah syarikat yang gagal menunaikan kontrak RM9 bilion untuk membina enam kapal peronda luar pesisir (OPV).

“Selepas kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal-kapal tentera laut yang diberi kepada syarikat PSC satu ketika dulu, Boustead terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi.

“Pengambilalihan ini termasuk hutang bank yang amat besar yang kini terpaksa ditanggung oleh Boustead Holdings dan Boustead Naval Shipyard. Maka sebahagian dari wang LCS terpaksa digunakan untuk bayar hutang lapuk syarikat PSC ini.

“Maklumat ini ada dalam laporan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara), ” kata Nazim dalam catatan Facebook malam tadi.

PAC mengeluarkan laporan pada 4 Ogos, mendedahkan masalah berhubung kegagalan perolehan LCS.

Antara isu yang dinyatakan ialah sebahagian daripada bayaran yang dibuat oleh kerajaan tidak digunakan dalam perolehan LCS tetapi RM400 juta digunakan oleh BNS untuk menyelesaikan hutang lapuk sebuah lagi projek lama iaitu Kapal Peronda Generasi Baharu ( NGPV).

Kontrak NGPV telah dikeluarkan pada tahun 1998 dan Boustead Holdings mengambil alih PSC pada tahun 2005.

Nazim juga mengesahkan bahawa dia telah turun melawat limbungan di Lumut dan pembinaan fizikal kapal memang sedang berlangsung.

Dia mendakwa kontrak itu menyatakan bahawa kesemua enam kapal perlu dibina serentak, bukannya membina dan menghantarnya satu demi satu.

“RM6 bilion dari nilai kontrak RM9 bilion sudah dibayar. Kenapa bayar sampai RM6 bilion, tapi progress pembinaan untuk lima kapal pertama hanya pada purata 55 peratus?

“Sebab RM6 bilion dibelanjakan untuk beli hampir kesemua peralatan yang perlu untuk bina enam kapal. Bulk order lebih murah berbanding beli satu-satu,” katanya.

Menurutnya, sbahagian besar perbelanjaan adalah untuk basic design dan detailed design yang dibuat oleh Naval Group, Perancis.

Namun di sebalik bebanan ini, Nazim berkata, projek LCS yang dibina oleh syarikat BNS di Malaysia telah membuka peluang kerja teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3,000 jurutera, lebih 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang lain.

BNS telah dianugerahkan kontrak LCS pada 2011 dalam rundingan terus dan RM6 bilion telah dibayar pada 2020, tetapi ia terlepas tarikh penghantaran yang disasarkan pada 2019.

Mengikut kontrak, BNS sepatutnya menghantar kapal pertama pada April 2019 dan dua kapal lagi dijadualkan menyusul pada Februari dan Mac 2020.

Lihat Komen
ADS