Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan mahu ubah status rahsia audit forensik LCS
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 4:08 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Kerajaan mencadangkan supaya Laporan audit Forensik Projek kapal tempur pesisir (LCS) pada 2019 dinyah klasifikasikan.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob proses itu perlu mendapat nasihat Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

“Keputusan jemaah menteri hari ini tidak akan menggangu proses mobilisasi bawah pelan pemulihan LCS yang diputuskan jemaah menteri pada 20 April 2022,” katanya.

Pada masa yang sama, kabinet juga memutuskan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan perolehan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion  yang bermula pada 2011 tidak pernah siap walaupun RM6 bilion telah dibelanjakan.

Malah, kosnya dikatakan meningkat RM1.4 bilion susulan keputusan tindakan Kementerian Pertahanan dan kontraktor Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pendirian tentera laut yang mahukan reka bentuk Sigma, yang lebih murah.

Perolehan itu turut dikritik kerana melibatkan berlapis-lapis kontraktor dan subkontraktor yang menyebabkan kosnya mencanak beberapa kali ganda.

Dalam kenyataan sebentar tadi, Ismail berkata kerajaan komited untuk meneruskan projek itu atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, kabinet juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyegerakan siasatan dan Peguam Negara Idrus Harun diminta mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ismail juga mendedahkan dia telah memanggil Idrus, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki selepas mesyuarat kabinet supaya siasatan segera diambil selaras dengan keputusan mesyuarat kabinet hari ini.

Lihat Komen
ADS