Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Nyah klasifikasi laporan PAC isu LCS sepenuhnya, jangan disunting'
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 6:15 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Sekiranya laporan siasatan khas mengenai perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dinyah klasifikasi, ia perlu didedahkan sepenuhnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh.

"PAC ingin menegaskan bahawa penyahklasifikasian laporan mesti dilakukan sepenuhnya dan tidak (mengulangi) apa yang berlaku dengan laporan (serupa) projek AES di mana banyak maklumat telah disunting atas dasar 'melindungi kepentingan kerajaan'," kata Wong.

Pada 1 Ogos, Wong telah mengkritik Putrajaya kerana menyunting bahagian penting laporan Jawatankuasa Penyiasat Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan mengenai projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Kabinet hari ini memutuskan untuk nyah klasifikasi laporan Jawatankuasa Khas Penyiasatan Tadbir Urus, Perolehan Kerajaan dan Kewangan mengenai perolehan enam LCS.

Walau bagaimanapun, keputusan akhir masih bergantung kepada lampu hijau daripada peguam negara dan ketua audit negara.

Wong mengalu-alukan keputusan Putrajaya menerima pakai dua syor PAC iaitu penyahklasifikasian laporan siasatan dan mengarahkan SPRM mengambil tindakan segera.

“Keputusan kabinet membuktikan kerja PAC amat penting bagi memastikan proses perolehan yang betul diamalkan kerajaan bagi melindungi kepentingan awam dan negara.

“Ia juga membuktikan bahawa badan perundangan boleh memenuhi fungsi semak dan imbang terhadap eksekutif sekiranya wujud demokrasi berparlimen yang sihat,” katanya.

PAC yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang mengeluarkan laporan siasatannya mengenai projek LCS pada Khamis lalu.

Antara lain, laporan itu menyebut presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai orang yang bertanggungjawab menukar reka bentuk LCS.

PAC juga membuat kesimpulan bahawa terdapat banyak kelemahan dalam projek itu yang menyebabkan kelewatan penghantaran dan subkontraktor tidak dibayar.

Bagaimanapun, Zahid berkata dia tidak boleh dipersalahkan dalam perkara itu manakala menteri kewangan ketika itu Najib Razak telah menyalahkan Pakatan Harapan kerana membekukan projek itu pada akhir 2019.

Lihat Komen
ADS