Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bernama tak akan saman penyampai berita, sedia bincang

Bernama tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kakitangannya Sydney Yap Xi Ni yang sebelum ini mengadu mengenai pemotongan gaji dan masalah dalaman lain di cabang TV agensi berita itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin berkata sebaliknya mereka akan membincangkan perkara itu.

Pada 5 Ogos, Bernama mengumumkan bahawa program berita Mandarin 6 petang hanya akan disiarkan dari Isnin hingga Jumaat.

Berikutan itu, Yap menulis penjelasan panjang lebar di Facebooknya dengan mendakwa terdapat isu kekurangan kakitangan berikutan gaji rendah dan pemotongan gaji serta kelewatan pengambilan pekerja kerana birokrasi.

Susulan itu, mesej Bernama tersebar kepada media mengatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyampai berita itu.

Malaysiakini telah mengesahkan kesahihan mesej itu dengan Roslan dan Pengerusi Bernama Ras Adiba Radzi.

Bagaimanapun, Roslan menjelaskan hari ini bahawa mesej itu bukan kenyataan akhbar.

Sebaliknya, dia berkata ia adalah laporan dalaman dan cadangan daripada jabatan sumber manusia Bernama, dan mereka yang mencadangkan tindakan undang-undang kerana penyampai berita itu masih dalam kontrak.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif agensi berita itu berkata bahawa langkah undang-undang harus menjadi pilihan terakhir.

"(Saya memberitahu HR) sebelum kita ambil tindakan, boleh ke kita hubungi dia? Dia marah sangat, apa yang buatkan dia marah? Saya kaya kenapa nak gaduh? Hubungi dia, kalau dia silap, minta maaf. Cakap minta maaf, ada salah faham ke, pandai kita lah," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Sydney Yap Xi Ni

Roslan berkata dia juga terbuka untuk membincangkan masalah yang dibangkitkan Yap.

Pada masa sama, Roslan turut mempersoalkan mengapa Yap tidak mengemukakan sebarang aduan sepanjang tiga tahun bersama Bernama TV.

"Dia dapat gaji ke? Dapat. Dia naik gaji ke tiap-tiap tahun? Ya. Dia sudah kerja dengan kita tiga tahun, tak kan lah dia tiba-tiba marah, untuk masalah yang lebih tiga tahun.

"Kalau marah pun, tahun pertama marah, lari lah (tinggalkan kerja). Takkan anda tunggu tiga tahun, tunggu hari terakhir cakap semua 'itu tak betul, ini tak adil'.

"Sebelum ini, mesyuarat, kamu senyum ssaja, kan?" katanya.

Roslan berkata laporan media yang meluas mengenai kes Yap telah memberi kesan buruk.

Yap sebelum ini berkata dia bersuara pada hari-hari terakhirnya untuk meningkatkan kesedaran tentang masalah yang dihadapi oleh media.

Program Bernama Mandarin News pernah disalurkan kepada syarikat swasta sebelum diserap Bernama pada 2019.

Dalam dakwaannya, Yap berkata mereka yang ingin meneruskan program itu terpaksa mengambil potongan gaji dengan kenaikan "tidak ketara" pada tahun-tahun berikutnya.

Yap mendedahkan bahawa daripada pasukan yang terdiri daripada lapan kakitangan sebelum ini, Bernama Mandarin News kini hanya mempunyai tiga kakitangan.

Roslan bagaimanapun mempertahankan amalan sumber manusia Bernama.

Bagi kakitangan kontrak, katanya, setiap tahun tempoh perkhidmatan mereka diperbaharui dan akan diberikan kenaikan gaji berdasarkan garis panduan perkhidmatan kerajaan.

Roslan juga berkata adalah perkara biasa bagi kakitangan kontrak tidak mendapat kenaikan pangkat.

Bagaimanapun, Roslan menambah jika Yap menunggu dan bekerja di Bernama sehingga lima tahun untuk agensi berita itu, dia boleh dilantik sebagai kakitangan tetap seperti yang dilakukan kepada lebih 70 kakitangan Bernama TV sejak 2019.

Roslan juga menafikan dakwaan yuran membaca berita telah dikurangkan, dan menjelaskan bahawa pembayaran dibuat berdasarkan kekerapan penyampai berita bersiaran.

Lihat Komen
ADS