Pembangkang menyifatkan keputusan kerajaan untuk mewajibkan Lesen Memandu Vokasional (GDL) kepada penghantar makanan bermotosikal (p-hailing) sebagai amat pelik dan mengecewakan.
Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda berkata pada saat pelbagai masalah dan kekangan membelenggu mereka, kerajaan menambah lagi beban golongan itu.
“Industri sektor ekonomi gig p-hailing adalah sebuah industri pekerjaan bebas dan fleksibel.
“Kerajaan tidak perlu merumitkan nature kerja mereka dengan pelbagai birokrasi apatah lagi keperluan memiliki lesen GDL langsung tidak ada kaitan dengan tugasan mereka,” katanya.
Syarat lesen GDL itu antara perkata dicadangkan dalam pindaan tiga akta pengangkutan yang akan dibentangkan pada sesi parlimen akan datang.
Dalam dialog dengan wakil penunggang p-hailing, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata GDL amat penting kerana ia membolehkan MOT mengawal selia ekonomi gig dengan baik.
"Kita bukan mahu membebankan penunggang p-hailing, kursus pengambilan lesen GDL ini akan mendedahkan mereka mengenai undang-undang dan peraturan ditetapkan sekali gus menjamin keselamatan penunggang," dia dipetik sebagai berkata.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia bagaimanapun membantah cadangan itu kerana ia akan membebankan penghantar p-hailing antaranya melalui pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Wee bagaimanapun kerkata lesen vokasional khas yang perlu diambil oleh penunggang perkhidmatan p-hailing tidak sama seperti lesen memandu vokasional (GDL).
Katanya untuk lesen vokasional khas itu - yang namanya akan ditentukan kemudian - penunggang p-hailing tidak perlu ke institut memandu sebaliknya hanya menduduki kursus induksi selama tiga jam yang akan dilaksanakan secara dalam talian.
Sementara itu, dalam kenyataannya, Hasbie berkata lesen GDL tidak diperlukan kerana penghantar makanan bermotosikal tidak perlu mengendalikan jumlah yang besar seperti pemandu lori.
“Kerajaan sepatutnya memudah cara dan bukannya membebankan serta menghampakan para penghantar yang mencari sesuap nasi untuk keluarga mereka,” katanya.
