Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan hanya mahu bela penunggang p-hailing, kata Wee
Diterbitkan:  Aug 11, 2022 4:23 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong sekali lagi menegaskan bahawa cadangan lesen vokasional bagi penunggang p-hailing tidak sama seperti Lesen Memandu Vokasional (GDL) sedia ada yang digunapakai oleh kenderaan berat.

Wee berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki di pejabatnya di Kementerian Pengangkutan hari ini bagi membincangkan mengenai industri berkenaan.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah setiausaha politik kepada perdana menteri, Khaizulnizam Mohamad Zuldin

"Dalam pertemuan ini saya telah menjelaskan secara terperinci sepertimana sidang media saya semalam bahawa apa yang hendak kita lakukan ini adalah semata-mata membela, melindungi dan menjaga kebajikan para penunggang p-hailing.

"Begitu juga dengan cadangan bagi memperkenalkan Lesen Vokasional kelak yang bukanlah sama seperti GDL sedia ada yang digunapakai oleh kenderaan berat," katanya dalam hantaran di Facebook.

Syarat lesen GDL itu antara perkara dicadangkan dalam pindaan tiga akta pengangkutan yang akan dibentangkan pada sesi parlimen akan datang.

Dalam dialog dengan wakil penunggang p-hailing semalam, Wee berkata GDL amat penting kerana ia membolehkan MOT mengawal selia ekonomi gig dengan baik.

Bagaimanapun, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia membantah cadangan itu kerana akan membebankan penghantar p-hailing antaranya melalui pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Wee berkata pada ketika ini, proses libat urus masih lagi berjalan dan MOT akan terus mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk persatuan dan penunggang p-hailing.

"Malah, dalam merangka Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda beberapa akta yang berkaitan juga kita akan menjemput wakil penunggang p-hailing untuk bersama-sama menambahbaik industri p-hailing.

Menurut Wee, p-hailing adalah industri baru yang muncul secara meluas di Malaysia sejurus pandemik Covid-19 melanda.

"Jadi, terdapat banyak perkara baru juga yang kita perlu teliti.

“Sebab itu perlunya kita meminda beberapa akta supaya ada punca kuasa bagi membolehkan kita mengawalselia industri p-hailing yang pada ketika ini tiada tempat bergantung harap.

"Apabila p-hailing berada sebumbung bersama teksi dan e-hailing, maka ia dapat memudah dan melancarkan proses kawalselia terutamanya dalam aspek menjaga hak serta kebajikan mereka, termasuk bagi tujuan proses penyaluran insentif atau bantuan seperti kerajaan berikan kepada pemandu teksi dan e-hailing sebelum ini.

"Paling penting, kita dapat campur tangan sekiranya penunggang p-hailing ini dilayan secara tidak adil oleh mana-mana syarikat," jelasnya.

Terdahulu, Pemuda Umno mengadakan sesi dan dialog dan perbicangan hampir dua jam bersama Wee dan wakil Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar).

Dalam sesi dialog tersebut, Pemuda Umno menyerahkan pelan penambahbaikan industri gig p-hailing kepada Wee.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kementerian itu bersetuju mengambil kira pelan penambahbaikan itu yang dibangunkan bersama Penghantar dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS