Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Rayuan terakhir kes SRC Najib: Ketua hakim ketuai panel lima hakim

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel lima hakim mahkamah persekutuan yang akan mendengar permohonan Najib Razak untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rasuah SRC International.

Anggota panel lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar terlebih dahulu permohonan bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan bukti baru bagi membatalkan sabitan terhadap satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC .

Sekiranya mahkamah menolak permohonan bukti baru itu, rayuan utama bekas menteri kewangan itu untuk membatalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta akan diteruskan.

Tidak diketahui pada masa ini sama ada panel hakim yang sama bersedia untuk mendengar rayuan utama berkaitan kes SRC.

SRC merupakan bekas anak syarikat 1MDB dan kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Mahkamah Persekutuan menetapkan sembilan hari mulai hari ini untuk mendengar rayuan bekas perdana menteri itu supaya dia dibebaskan dan mengetepikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes berkenaan.

Mahkamah Persekutuan menetapkan perbicaraan bermula dari 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC.

Setelah menjatuhkan hukuman itu, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan. Nazlan telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dan menolak rayuan Najib.

Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Permohonan bukti baru yang dikemukakan Najib adalah berasaskan bahawa hakim Nazlan mempunyai konflik kepentingan kerana pernah menjadi peguam am di Maybank sebelum ini.

Dakwaan percanggahan kepentingan itu tertumpu kepada peranan bank komersial itu dalam pembentukan SRC serta pinjaman kepada 1MDB.

Walaupun Najib telah menarik balik dakwaan rasuah terhadap Nazlan, bekas perdana menteri itu tetap berpendirian bahawa Nazlan memiliki konflik kepentingan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik dan beberapa peguam lain mewakili Najib, manakala timbalan pendakwa raya V Sithambaram mewakili pihak pendakwaan.

Lihat Komen
ADS