Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib terkejut, sangat kecewa
Diterbitkan:  Aug 16, 2022 9:31 AM
Dikemaskini: Aug 17, 2022 7:11 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa "terkejut dan sangat kecewa dengan keputusan hakim" Mahkamah Persekutuan kerana tidak membenarkan permohonannya mengemukakan bukti tambahan yang dikaitkan dengan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

"Saya percaya bukti jelas menunjukkan hakim (Mohd) Nazlan (Mohd Ghazali) sangat memiliki konflik (kepentingan).

“Dia sangat mengetahui transaksi 1MDB dan SRC dan oleh itu menganggap mempunyai pengetahuan peribadi mengenai kedua-dua entiti ini.

“Saya percaya para penyiasat SPRM juga menyedari fakta ini, tetapi kami tidak dapat mengemukakan (bukti tambahan).

"Saya harap dalam rayuan terakhir, kami dapat menunjukkan kebenaran perkara itu," kata Najib semasa sidang media di Istana Kehakiman, Putrajaya selepas prosiding mahkamah tertinggi negara hari ini.

Sementara itu, peguam Zaid Ibrahim yang mewakili Najib juga meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mengemukakan bukti baru itu dan tidak membenarkan penangguhan pendengaran rayuan utama selama tiga hingga empat bulan.

"(Kami) simpati penuh kepada Najib dan keluarganya. Tetapi keadilan adalah jalan yang panjang. Kadang-kadang anda boleh mendapatkannya di sini, (atau) anda boleh mendapatkannya di tempat lain," kata bekas menteri undang-undang itu.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat (gambar, bawah) yang mengetuai panel lima hakim dalam menolak permohonan itu mengarahkan pihak pembelaan meneruskan rayuan utama mereka, Khamis ini.

“Rayuan utama akan diteruskan pada hari Khamis ini pukul 9.30 pagi,” katanya.

Ini merupakan rayuan bekas perdana menteri itu yang terakhir, selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis lalu mengekalkan sabitan Najib, dengan hukuman 12 tahun penjara, serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020.

Panel hakim lain yang bersidang dalam pendengaran hari ini ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan serta Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Dalam menyampaikan penghakimannya Tengku Maimun menetapkan permohonan yang dibuat oleh peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik bagi tempoh penangguhan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan, ditolak sebulat suara, kerana hak bagi perbicaraan yang adil tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.

“Dalam perkara ini kita perlu ingatkan diri sendiri mengenai Arahan Amalan Ketua Hakim Negara, yang mengatakan bahawa kes-kes yang sebegini perlu diberi keutamaan. Realiti sebenarnya adalah dana awam yang agak besar akan dibazirkan sekiranya penangguhan diberikan dalam kes sebegini yang merupakan satu pilihan mudah.

“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang menuntut perayu dilayan sama seperti tertuduh lain. Oleh itu, kami menyatakan sekali lagi bahawa walaupun perayu berhak mendapat haknya menukar peguam, dia tidak berhak membuat pilihan ini dengan mengorbankan mahkamah, pendakwaan atau keseluruhan sistem keadilan,” katanya dan menambah pihak pembelaan memohon penangguhan rayuan ini atas sebab mudah, bahawa mereka tidak bersedia.

Tengku Maimun menegaskan bahawa masa yang diambil untuk kes ini, terutama jumlah hari yang ditetapkan untuk pendengaran, bermakna ramai lagi penjenayah dan orang yang dituduh terpaksa menunggu giliran mereka untuk rayuan mereka didengar.

“Keadilan yang ditangguhkan dalam kes ini, adalah juga keadilan yang dinafikan bagi tertuduh yang lain,” katanya.

ADS