Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL tutup Crackhouse selamanya, pemilik disenarai hitam
Diterbitkan:  Aug 17, 2022 11:59 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Selepas dikenakan pertuduhan jenayah, Rizal Van Geyzel, pemilik Crackhouse Comedy Club kini disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan mana-mana premis di sekitar ibu negara.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias, berkata mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

"Malah, kita juga mengambil keputusan untuk menyenarai hitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

Rizal Van Geyzel, Pemilik Crackhouse Comedy Club

"Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan," katanya yang dipetik Berita Harian selepas mengetuai Operasi Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, DBKL juga sedang memantau beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti seumpama itu di sekitar ibu negara.

"Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.

"Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas,” katanya.

Crackhouse mendapat perhatian baru-baru ini berhubung persembahan kontroversi di kelab itu yang didakwa menghina Islam. Susulan itu, wanita yang membuat persembahan dengan menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi serta teman lelakinya yang memuat naik kandungan berkenaan di media sosial turut ditahan.

Rizal pula menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya. Dia kemudiannya ditahan oleh Unit Siasatan Terperingkat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada 14 Julai lalu.

Beberapa hari kemudian, kelab lawak di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur itu telah dirosakkan dan Rizal menerima ugutan bunuh yang dihantar kepada isterinya. Polis percaya kedua-dua kejadian itu ada kaitan.

Rizal didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Malaysiakini telah menghubungi kelab komedi itu untuk mendapatkan ulasan mereka.

Lihat Komen
ADS