Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Lebih 4,000 penyelia di KKM mengaku pembuli dalam tinjauan
Diterbitkan:  Aug 19, 2022 7:34 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Hampir satu per empat penyelia yang bekerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terlibat dalam satu tinjauan mengakui bahawa mereka adalah pembuli, dengan beberapa mengaku terlibat dalam buli "teruk".

Ini adalah penemuan Pasukan Petugas Peningkatan Budaya Kerja Penjagaan Kesihatan (HWCITF), yang ditugaskan untuk mendedahkan keadaan kerja pekerja penjagaan kesihatan di kementerian itu, berikutan kematian seorang doktor pelatih dari Hospital Pulau Pinang pada April lalu.

Menurut laman web berita kesihatan CodeBlue, 4,692 daripada 20,663 responden daripada peringkat pengurusan atau penyeliaan mengaku terlibat dalam buli di tempat kerja.

Daripada jumlah itu 924, atau kira-kira 20 peratus, mengaku telah membuli dengan "teruk" orang bawahan mereka, manakala majoriti mengatakan buli itu berada pada tahap "rendah".

Bagaimanapun, laman web itu melaporkan, HWCTIF tidak mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan buli peringkat "teruk" atau "rendah".

Tinjauan mendapati kebanyakan kakitangan yang mengaku pembuli bekerja di Perak, dengan 561 responden di sana mengaku berbuat demikian.

Ini diikuti oleh Selangor (541 responden), Pahang (487), Johor (461) dan Sabah (422).

Bagaimanapun, Pahang mempunyai bilangan pembuli "teruk" paling tinggi, dengan 102 responden mengaku berbuat demikian di tempat kerja.

Kebanyakan responden tinjauan dalam talian yang dijalankan dari 27 Mei hingga 10 Jun, adalah dari Perak, Selangor, Sabah, Pahang dan Johor.

Tinjauan telah dijalankan melalui Borang Google, yang memerlukan pengguna memasukkan alamat e-mel mereka, tetapi HCWTIF memberi jaminan butiran pengeceman telah dialih keluar sebelum data dihantar untuk analisis.

Tinjauan mendapati bahawa kebanyakan yang mengaku membuli adalah wanita, membentuk 75 peratus daripada mereka yang mengaku terlibat dalam amalan itu.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa sebahagian besar daripada mereka datang daripada kumpulan yang telah berkhidmat dalam kementerian selama 11 hingga 20 tahun.

Walaupun satu perempat daripada penyelia yang ditinjau mengatakan mereka telah membuli junior mereka, hanya tujuh peratus daripada semua responden berkata mereka berasa diganggu di tempat kerja.

Bagaimanapun, dalam jumlah mutlak, ia mencapai 8,172 responden, terdiri daripada doktor pelatih dan pegawai perubatan rendah, pegawai perubatan dan pakar.

Tetapi HWCITF tidak memberikan pecahan berapa ramai dari kategori mana, lapor CodeBlue.

Kira-kira 40 peratus daripada mereka berkata mereka dibuli dan berkata mereka mengalami buli "teruk", lapor CodeBlue, tanpa definisi tentang apa yang ditimbulkan oleh "buli teruk".

Daripada mereka yang mengatakan mereka dibuli teruk, hanya 500 berada dalam kategori paling muda, dengan perkhidmatan kurang daripada dua tahun, manakala 500 lagi berada dalam tahun ketiga hingga kelima perkhidmatan mereka.

Perkadaran yang sama mengatakan mereka adalah mangsa buli peringkat "rendah".

Doktor pelatih biasanya berkhidmat selama dua tahun, dan bekerja sebagai pegawai perubatan rendah selama tiga hingga lima tahun.

Buli emosi dan fizikal

Mereka yang mengatakan mereka dibuli dengan cara diarah buat kerja di luar tahap kepakaran mereka, pemantauan berlebihan oleh penyelia atau pendapat mereka diabaikan.

Mereka juga menyifatkan gangguan seperti tindakan penyelia membangkitkan kesilapan mereka berulang kali atau khabar angin tersebar tentang mereka di kalangan rakan sekerja.

Ia juga melaporkan pembuli fizikal, termasuk pencerobohan ruang peribadi, ditolak atau disekat daripada berjalan di laluan mereka, diancam untuk dikasari atau menjadi sasaran dimarahi secara spontan.

CodeBlue bagaimanapun menemui percanggahan dalam angka HWCTIF, dengan hanya 8,172 responden mengatakan mereka berasa dibuli di tempat kerja, manakala maklumat grafik menunjukkan hampir 30,000 orang mengatakan mereka mengalami beberapa jenis buli.

Infografik itu menunjukkan nisbah responden yang mengatakan mereka pernah mengalami ugutan, dipulaukan, fitnah, bahasa menghasut, gangguan, pampasan yang tidak adil, waktu kerja yang tidak adil atau beban kerja yang tidak adil.

Ia juga tidak sepadan dengan teks bertulis laporan HWCTIF yang menyatakan 13,806 responden menghadapi beban kerja yang tidak adil secara bulanan (7,058 responden), mingguan (4,469) atau harian (1,559), lapor laman web itu.

Responden juga kebanyakannya bukan doktor, walaupun kajian itu mendakwa menyasarkan doktor.

Terdahulu, pengerusi pasukan petugas itu, bekas ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Siti Hamisah Tapsir berkata siasatan tidak menemui bukti kukuh untuk mencadangkan doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang yang meninggal dunia itu dibuli.

Ia juga membuat kesimpulan bahawa buli tidak berlaku di semua kemudahan penjagaan kesihatan, dan mangsa bukan hanya doktor pelatih.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS