Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Cuma 'jerung' berkuasa rancang, buat keputusan berkaitan LCS

Bekas pegawai tentera yang didakwa - atau akan didakwa - dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) dilihat bukanlah dalang di sebalik dakwaan penyelewengan itu, kata Rafizi Ramli.

Sebaliknya menurut Timbalan Presiden PKR terbabit, skandal tersebut adalah sesuatu yang dirancang oleh 'jerung' yang mempunyai kuasa dalam projek LCS di luar pasukan keselamatan negara.

Kuasa yang ada pada 'jerung' itu, tambah Rafizi, termasuk melantik kontraktor, menentukan spesifikasi projek, membuat bayaran pendahuluan dan mempunyai wang tunai untuk disalurkan ke luar negara sebelum penghantaran kapal dibuat.

"Saya tengok LCS ini, dua tiga minggu ini memang ada dakwaan. Seorang dah kena dakwa dan saya rasa ada akan kena dakwa lagi.

"Setakat ini saya tahu semua ini melibatkan bekas tentera laut. Dia kata semua yang tamak itu bekas tentera laut, masalahnya ia melebihi kebolehan gred gaji mereka.

"Selapis demi selapis kebenaran terbongkar, apabila kita tengok syarikat palsu dengan secara tersusun cuba meniru nama syarikat yang betul-betul wujud, palsukan dokumen dan alat dibeli di syarikat wujud tapi barang diambil tak ke mana-mana dihantar, kemudian invois pun tak ke mana-mana," katanya.

Bekas ahli parlimen Pandan itu juga berkata skandal berkenaan membabitkan syarikat-syarikat luar pesisir untuk membawa duit keluar.

Melibatkan syarikat meragukan

Justeru, katanya, kaedah yang dilaksanakan itu menunjukkan ia tidak melibatkan 'ikan bilis' sebaliknya individu yang berstatus 'jerung.'

Bercakap di majlis pelancaran trak #AyuhMalaysia di Wangsa Maju malam tadi, Rafizi menjelaskan, sesebuah syarikat luar pesisir mengenakan syarat yang ketat dan penuh rahsia sehingga tidak banyak maklumat mengenainya boleh diperolehi dengan mudah.

Justeru, kata Rafizi, tiga pemimpin kanan Umno yang terkait dengan Kementerian Pertahanan - iaitu Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein - tidak boleh berlepas tangan dengan projek LCS.

Malah Rafizi juga berjanji untuk membuat pendedahan lanjut mengenai LCS esok.

"Tunggu Isnin, saya akan sebut barang jenis apa dibeli dengan RM1.7 bilion (peruntukan untuk membina LCS itu). Ada yang tak ada kena-mengena dengan perang pun, yang kita boleh beli dari 7-Eleven," katanya.

Pada 18 Ogos lalu, Rafizi - yang mendakwa melihat hasil siasatan dalaman oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) mengenai projek LCS - mendakwa sebanyak RM192 juta dana telah dialihkan kepada firma yang meragukan.

Dia berkata subkontraktor LCS telah membuat bayaran sebanyak €43.69 juta (RM210 juta) tetapi sebahagian besar daripadanya diserahkan kepada firma yang diperbadankan di Malta, dikenali sebagai Alizes Marine Ltd.

“Invois dihantar satu syarikat, sebaliknya arahan bayaran (untuk tuntutan tersebut) adalah supaya invois dibayar ke satu akaun yang didaftarkan di bawah syarikat yang namanya hampir sama tetapi syarikat berlainan,” katanya.

Menurut laporan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Ahmad Zahid pada 26 Mei 2011 telah meluluskan permohonan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) supaya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) membina enam kapal LCS berdasarkan reka bentuk "Sigma".

Bagaimanapun, dalam tempoh kurang dua bulan, Ahmad Zahid - yang ketika itu menjadi menteri pertahanan - mengubah fikiran dan sebaliknya mengikut cadangan untuk menggunakan reka bentuk kelas Gowind yang dimiliki oleh Kumpulan Tentera Laut Perancis.

Ia berlaku walaupun dibantah berulang kali oleh pegawai tertinggi TLDM.

Laporan audit yang dilakukan badan khas mengenai pemerolehan LCS juga, dakwa Rafizi, menunjukkan berlaku pergolakan dalam Umno dengan beberapa pemimpin sedang cuba mendapatkan jawatan.

"Saya ingin bertanya siapa yang akan menjadi perdana menteri Umno/BN?" tambah Rafizi, "Nampaknya Najib dan Zahid juga mahukan jawatan itu selain Ismail Sabri (Yaakob)," katanya.

Menurut Rafizi lagi ketika ini tidak ada jaminan Ismail Sabri akan dinamakan sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang berdasarkan apa yang berlaku sesudah pilihan raya negeri (PRN) diadakan di Johor.

Rafizi merujuk kepada langkah Umno-BN menjanjikan Hasni Mohammad sebagai calon menteri besar di negeri itu jika mereka memenangi PRN tersebut. Bagaimanapun Hasni kemudian tidak terpilih untuk menjadi menteri besar, sebaliknya Onn Hafiz Ghazi.

Lihat Komen
ADS